PRK Kemaman: Polis terima enam permohonan ceramah
KEMAMAN - Polis Kemaman menerima enam permohonan ceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, setakat ini empat permit dimohon oleh Perikatan Nasional (PN) manakala dua lagi daripada Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, permohonan itu bertambah daripada Isnin, dengan hanya tiga ceramah diadakan iaitu dua oleh PN dan satu BN.
"Kedua-dua ceramah oleh PN semalam mendapat permit, iaitu satu ceramah diadakan di Kijal yang menampilkan Datuk Razali Idris dan Azman Shafawi Abd Rani sebagai penceramah.
"Satu lagi ceramah PN diadakan di Kemasik membabitkan penceramah Mohd Mahadi Nawi, Dr Loh Ab Ghani, Saiful Azmi Suhaili, Tengku Muhamad Fakhrudddin Tengku Mohd Fauzi dan Azman Shafawi Abd Rani.
"BN pula mengadakan satu ceramah di Air Putih yang menampilkan Manap Jusoh, Muhammad Pehimi Yusof, Dr Mohd Zaki Salleh, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Seri Mohamad Hasan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah Hanyan, tiada sebarang tangkapan atau kesalahan pilihan raya dilaporkan pada Isnin.
PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.
PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!