Tambah renjer komuniti elak hutan, hidupan liar terus diancam - Nik Nazmi

Nik Nazmi (dua dari kanan) menyempurnakan perasmian Persidangan Keterhubungan Hutan dan Konservasi Biodiversiti di Pusat Konvensyen Setia City hari ini. - Foto Bernama
Nik Nazmi (dua dari kanan) menyempurnakan perasmian Persidangan Keterhubungan Hutan dan Konservasi Biodiversiti di Pusat Konvensyen Setia City hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
SHAH ALAM - Kerajaan akan terus menambah bilangan renjer komuniti bagi memastikan tiada ancaman terhadap hutan dan hidupan liar, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, setakat ini kerajaan telah menambah sebanyak 1,500 renjer dan sebahagian besar terdiri daripada masyarakat Orang Asli dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, usaha itu juga bagi meningkatkan penguatkuasaan kawasan hutan simpan kekal termasuk di Sabah dan Sarawak daripada terus diceroboh.

"Kita tahu tekanan kepada hutan dan haiwan kita adalah sangat tinggi. (Sejak akhir-akhir ini) semakin banyak konflik (pencerobohan hutan) yang berlaku, jadi dalam usaha kita menghentikan perkara tersebut, kita perlu menambah bilangan renjer," katanya selepas merasmikan Persidangan Serantau: Kesalihubungan Hutan dan Pemuliharaan Biodiversiti di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Setia Alam di sini, hari ini.

Nik Nazmi berkata, lebih 600 masyarakat Orang Asli telah dipilih menjadi renjer komuniti dan menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat.

"Selain itu, penglibatan veteran tentera dan polis sangat bersesuaian kerana mereka mempunyai kepakaran serta pengalaman luas ketika berada di hutan," katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai fokus kementerian semasa Persidangan ke-28 Konvensyen Rangka Kerja mengenai Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP 28) di Dubai, hujung bulan ini, Nik Nazmi berkata, pihaknya akan memfokuskan isu peralihan tenaga.

"Malaysia sebagai negara yang bersedia bagi peralihan tenaga di rantau ini akan mempamerkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR).

"Selain itu, kita akan mengetengahkan isu berkaitan kerugian akibat bencana alam yang dialami negara-negara membangun termasuk kepulauan kecil," katanya persidangan tersebut yang dijadual berlangsung pada 30 November hingga 12 Disember ini. - Bernama
Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!