Ibu berpantang, bayi 29 hari antara mangsa banjir di Kelantan

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan operasi menyelamat di Tok Kundor, Pasir Puteh.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan operasi menyelamat di Tok Kundor, Pasir Puteh.
A
A
A

PASIR PUTEH - Seorang ibu sedang berpantang dan bayinya berusia 29 hari antara 79 mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini pada Selasa.

Maisanah Daud, 38, dari Kampung Dalam Rhu di sini terpaksa meredah banjir sedalam 0.4 meter bersama bayinya selepas rumah ditenggelami air sejak malam tadi.

Dia dan suami, Mohd Fadhli Hisham Yusof, 35, bersama empat orang anak mengambil keputusan berpindah awal kerana bimbangkan keselamatan anak-anak.

“Kawasan rumah kami ditenggelami banjir selepas hujan lebat tanpa henti sekali gus menyebabkan kami mengambil keputusan untuk berpindah awal.

"Hal ini kerana keadaan saya yang sedang berpantang, jadi suami ajak pindah ke PPS (Pusat Pemindahan Sementara) SK (Sekolah Kebangsaan) Dalam Rhu," katanya kepada pemberita.

Maisanah (kanan) dari Kampung Dalam Rhu, Pasir Puteh terpaksa meredah banjir sedalam 0.4 meter bersama bayinya selepas rumah ditenggelami air sejak malam Isnin.
Maisanah (kanan) dari Kampung Dalam Rhu, Pasir Puteh terpaksa meredah banjir sedalam 0.4 meter bersama bayinya selepas rumah ditenggelami air sejak malam Isnin.

Sementara itu, seorang remaja dari Kampung Pachakan, Nur Atia Natasha Mohd Zulkifli,13, bersama lima lagi adik-beradiknya yang berusia 15 hingga dua bulan terpaksa berpindah awal kerana air telah melimpah ke dalam rumah.

Dia yang menjaga adik-adiknya di PPS sementara ibu dan ayah terpaksa pulang ke rumah untuk mengemas.

Artikel Berkaitan:

"Tahun lepas kami pindah ke sini juga. Tapi kali ini lebih awal kerana hujan lebat berterusan menyebabkan air telah memasuki ke dalam rumah sedalam 0.3 meter," ujarnya.

Ramlah Sakti, 58, dari Kampung Dalam Rhu pula memberitahu dari malam tadi dia belum lagi melelapkan mata.

Tambah dia, hujan yang berterusan menyebabkan air naik terlalu cepat serta memaksanya mengemas rumah segera sebelum berpindah.

Nur Atia Natasha (dua,kanan) bersama lima lagi adik-beradiknya yang berusia 15 hingga dua bulan terpaksa berpindah awal kerana air telah melimpah ke dalam rumah.
Nur Atia Natasha (dua,kanan) bersama lima lagi adik-beradiknya yang berusia 15 hingga dua bulan terpaksa berpindah awal kerana air telah melimpah ke dalam rumah.

"Saya pindah dahulu ke PPS, suami masih di rumah," katanya.

Sementara itu mengikut aplikasi InfoBencanaBanjirJKM setakat jam 4 petang pada Selasa menunjukkan seramai 79 mangsa dari Pasir Puteh dan Bachok telah ditempatkan di tiga buah PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Jelawat, SK Dalam Rhu dan SK Wakaf Raja.

Jumlah itu melibatkan 18 keluarga yang terdiri daripada 38 dewasa, 34 kanak-kanak dan tujuh bayi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!