MBPG tangguh naik cukai pintu

Penduduk Pasir Gudang membantah kenaikan cukai pintu kerana didakwa membebankan dan tidak sepadan dengan kualiti khidmat diberikan.
Penduduk Pasir Gudang membantah kenaikan cukai pintu kerana didakwa membebankan dan tidak sepadan dengan kualiti khidmat diberikan.
A
A
A

PASIR GUDANG - Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) tidak akan melaksanakan Nilaian Baharu Cukai Harta yang dicadangkan bermula 1 Januari 2024.

MBPG dalam satu kenyataan memberitahu, ketetapan itu dibuat selepas mesyuarat Penilaian dan Cukai Harta MBPG yang dipengerusikan Datuk Bandar, Datuk Asman Shah Abd Rahman bersama sembilan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pada Selasa.

"Ahli-ahli Majis MBPG telah mengambil pendirian untuk tidak meluluskan dan tidak mengesahkan senarai Nilaian Baru dan Kadar Cukai Baru ke atas pegangan di kawasan Majlis Bandaraya Pasir Gudang.

"Kami telah memohon agar MBPG menyemak semula dan mengemukakan kertas cadangan baharu untuk kadar cukai harta lebih rendah berbanding yang dicadangkan sekarang," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Sebelum ini, penduduk di bandar raya ini membantah kenaikan cukai tersebut yang dicadangkan antara 40 sehingga 50 peratus bermula tahun hadapan kerana membebankan dan tidak sepadan dengan kualiti khidmat diberikan.

Menurut Ketua Whip Ahli Majlis MBPG, Datuk Mohd Amin Ahmad, kenaikan itu dicadangkan kerana kali terakhir cukai harta dinaikkan di Johor 10 tahun lalu dan secara amalannya patut disemak semula setiap lima tahun.

Menurut MBPG, ketetapan untuk menangguhkan kadar pelaksaan cukai baharu itu dibuat mengikut Akta 171 Seksyen 143 kerana tidak mahu membebankan pembayar cukai selain mahu menurunkan cukai kepada kadar yang munasabah.

"Pendirian kami ini juga adalah selari dengan kenyataan Menteri Besar Johor dan juga Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor iaitu kadar cukai harta MBPG agak tinggi dan perlu dikaji semula.

Artikel Berkaitan:

"Kami ahli-ahli majlis akan memastikan isu ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin, sekali gus memastikan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat Pasir Gudang sentiasa terbela dan diutamakan," jelas kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!