Singapura lepaskan nyamuk Wolbachia atasi denggi
SINGAPURA - Nyamuk jantan Aedes aegypti berbakteria Wolbachia akan dilepaskan di lima lokasi baharu di selatan Singapura dalam usaha memerangi denggi.
Perkara itu diumumkan Setiausaha Parlimen Kanan Kelestarian dan Alam Sekitar, Baey Yam Keng pada Selasa.
Menurutnya, kelima-lima lokaliti itu adalah Bukit Merah-Telok Blangah, Clementi-West Coast, Commonwealth, Holland dan Marine Parade-Mountbatten.
"Kawasan sasaran merangkumi estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) serta estet-estet perumahan persendirian sekali gus memberi perlindungan kepada 480,000 isi rumah," katanya.
Tambahnya, nyamuk pembawa Wolbachia itu akan dilepaskan mulai suku pertama 2024.
Di bawah projek itu, nyamuk jantan Aedes aegypti yang membawa Wolbachia dilepaskan untuk mengawan dengan nyamuk betina Aedes aegypti di kawasan perbandaran dan akan menghasilkan telur yang tidak menetas.
Nyamuk jantan tidak menggigit dan tidak boleh menularkan penyakit kerana ia hanya memakan jus tanaman seperti nektar. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!