Risiko keselamatan: Pengguna mohon garisan kuning, pembahagi jalan

Laluan dari Gelang Patah yang menjadi satu lorong selepas lampu isyarat, kilang SILC adakalanya membuatkan pemandu hilang kawalan. (Gambar kecil: Thein Sin, Cheng Hau, dan Nur Isfara)
Laluan dari Gelang Patah yang menjadi satu lorong selepas lampu isyarat, kilang SILC adakalanya membuatkan pemandu hilang kawalan. (Gambar kecil: Thein Sin, Cheng Hau, dan Nur Isfara)
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Orang ramai terutamanya pengguna jalan raya di jalan Gelang Patah-Lima Kedai-Jalan Sentral Utama, di sini memohon pihak berwajib melakukan sesuatu bagi menjamin keselamatan mereka ketika melalui laluan berkenaan.

Bagi seorang peniaga, Tan Thein Sin, 63, jalan berkenaan sememangnya memerlukan garisan kuning tersebut kerana ia secara tidak langsung akan membuatkan pengguna kenderaan memperlahankan kenderaan masing-masing.

Katanya, laluan dua lorong dari arah Lima Kedai yang agak menurun membuatkan kenderaan menjadi agak laju dan dikhuatiri boleh menyebabkan pemandu hilang kawalan ketika melalui kawasan tersebut terutamanya pada waktu hujan.

“Sepatutnya di sini semua orang bawa perlahan sebab banyak kereta, lori lalu sini...tak boleh laju-laju.

“Kemalangan memang pernah terjadi, tapi tak seriuslah... tak ada buat report (laporan polis) dan selesai sendiri sahaja.

“Tapi memang perlu ada buat garisan kuning ni supaya kereta, lori semua perlahan sikit,” katanya.

Seorang pengguna lain, Lau Cheng Hau, 41, pula berkata, laluan di situ juga mungkin perlu dilebarkan menjadi dua lorong khususnya melibatkan laluan dari arah Gelang Patah.

Ahli perniagaan itu berkata, laluan secara tiba-tiba menjadi satu lorong selepas lampu isyarat di hadapan kilang SILC membuatkan ada pemandu yang hilang kawalan.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin bagi yang biasa lalu di sini atau tinggal di kawasan ini sudah biasa dengan keadaan jalan ini, tetapi bagi orang luar pasti akan keliru sekejap dengan keadaan ini.

“Diharapkan agar tanda amaran untuk jalan satu lorong boleh diadakan di sini untuk bagi amaran awal kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke kawasan berkenaan mendapati laluan di situ memerlukan garisan kuning (tebal), termasuk pembahagi jalan di kedua-dua hala (ke Gelang Patah dan Lima Kedai) supaya pengguna memperlahankan kenderaan mereka.

Sementara itu, seorang peniaga, Nur Isfara Hidatul Aini Islaidin, 22, turut bersetuju sekiranya pembahagi jalan dibuat di laluan berkenaan.

Katanya, biarpun laluan di situ merupakan laluan garisan berkembar (double line), namun seringkali dilihat pengguna jalan raya memotong kenderaan lain sesuka hati.

“Memang selalu berlaku memotong di double line (garisan berkembar), sebab laluan hanya satu lorong dari arah Gelang Patah ke Lima Kedai.

“Bagi saya perbuatan itu memang bahaya dan boleh menyebabkan kemalangan yang serius jadi jika ada cadangan untuk bina pembahagi jalan (divider) di sini.

“Selain itu untuk garisan kuning tu pun rasanya perlu juga sebab boleh bantu perlahankan kenderaan yang dipandu laju,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!