Semua jawatan BAM status quo kecuali presiden - Mohamad Norza
HANYA jawatan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan ‘bertukar tangan’ apabila Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengundurkan diri daripada pucuk pimpinan badan induk itu.
Mengesahkan perkara itu, Mohamad Norza berkata, kesemua timbalan, naib presiden dan ahli majlis BAM akan mengekalkan jawatan mereka sehingga pemilihan seterusnya pada 2025.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dinamakan sebagai presiden baharu BAM pada 14 Oktober lepas, bagi menggantikan Mohamad Norza yang mengumumkan peletakan jawatan pada hujung tahun ini.
"Semua jawatan lain adalah status quo kecuali presiden. Untuk 2025 pun, kebiasaannya tidak berlaku banyak perubahan kerana apabila berlaku pemilihan hanya membabitkan tiga jawatan tertinggi. Proses peralihan dalam BAM sentiasa baik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pengerusi Yayasan Astro Kasih Tun Zaki Azmi untuk Astro Kem Badminton, tahun depan.
Mengulas lanjut mengenai peralihan kuasa itu, Mohamad Norza berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan pada mesyuarat majlis BAM, Januari depan.
"Kita akan adakan Mesyuarat Majlis berikutnya pada Disember yang memberi tumpuan kepada Terbuka Malaysia (9 hingga 14 Januari 2024), kita akan teliti perkara peralihan pada mesyuarat Januari nanti selepas Terbuka Malaysia.
"Kita perlu berlaku adil kepada Tengku Zafrul kerana di BAM kita harus menyelesaikan beberapa perkara dahulu, baru kita akan beri penerangan kepadanya tentang badan induk ini,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Norza percaya dengan adanya MoU bersama Yayasan Astro Kasih, penglibatan BAM dalam Kem Badminton Astro menjadi lebih mendalam ke arah mencungkil lebih ramai bakat baharu sukan itu.
Beliau berkata, program pencarian bakat yang diwujudkan sejak 11 tahun lepas itu, berjaya melahirkan 40 pemain untuk skuad kebangsaan setakat ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!