Lebih 100 penyair, penulis dari 12 negara bersedia ke RAIPO
PETALING JAYA - Lebih 100 penyair dan penulis terkemuka antarabangsa dari 12 negara bersedia untuk hadir ke Festival Antarabangsa Penyair, Penulis dan Pencinta Buku (RAIPO) Malaysia pada Disember ini.
Pengerusi festival tersebut, Raja Ahmad Aminullah berkata, ia membabitkan negara seperti Puerto Rico, Bulgaria, India, Sepanyol, Bangladesh, Vietnam, Rusia, Indonesia, Singapura, Mesir dan Brunei.
Menurutnya, festival tersebut bertujuan meraikan kegiatan sasterawan dari pelbagai negara supaya hubungan antara satu sama lain dapat dieratkan lagi.
“Ia juga boleh mengharmonikan manusia, tidak seperti sesetengah bidang lain yang boleh memecahbelahkan suatu hubungan.
“Saya harapkan program ini boleh ‘memanusiakan manusia’ atau ‘merumahkan kemanusiaan’,” katanya pada sidang akhbar festival itu di sini pada Selasa.
Turut hadir, Pengerusi Tourism Perak, Datuk Mohamad Kamil Shafie; Pengerusi Encorp Berhad, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Encorp Berhad, Hazurin Harun.
Tambahnya yang lebih dikenali sebagai Pak Engku, RAIPO akan berlangsung selama tiga hari di pusat beli-belah Strand di Kota Damansara, Selangor dan seterusnya ke Hotel Casuarina, Meru, Ipoh pada 8 sehingga 13 Disember ini.
Jelasnya, festival tersebut akan bermula dari jam 10.30 pagi sehingga 6 petang.
“Kita bawakan tema ‘Puisi, Kedamaian dan Kemanusiaan’ untuk menggariskan potensi sastera sebagai pemangkin bagi diplomasi budaya serta pendidikan yang progresif.
“Ia berfungsi sebagai platform untuk perbincangan berlainan mengenai isu sosial yang mendesak dalam landskap global semakin rumit dan terdedah,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!