Lima sekolah terima ugutan bom selamat - Ketua Polis Johor
JOHOR BAHRU - Polis Kontinjen Johor mengesahkan kesemua lima sekolah swasta di Masai, Gelang Patah, Kulai, Muar dan Permas Jaya adalah selamat di sebalik ugutan bom yang dibuat pada Selasa.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, antara 11 pagi hingga 6.18 petang Selasa, pihaknya telah menerima lima laporan polis berhubung ugutan bom berkenaan melalui e-mel bertajuk ‘bahan letupan telah ditanam di sekolah.
“Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan polis melibatkan Unit Pemusnah Bom (UPB), Unit Cawangan Khas Daerah, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dan Unit Anjing Pengesan (K9) telah digerakkan ke lokasi-lokasi terbabit bagi menjalankan siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan di keseluruhan bangunan sekolah mendapati, tiada sebarang objek yang mencurigakan dan kawasan sekolah adalah selamat.
“Bagaimanapun, pihak polis masih lagi berada di lokasi-lokasi kejadian bagi menjalankan pemerhatian lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Polis Kontinjen Johor turut menasihatkan orang ramai agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran dan mengganggu-gugat ketenteraman awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!