Malaysia benam Taiwan di laman lawan

Darren (dua dari kanan) meledak gol tunggal ketika membantu Malaysia menewaskan Taiwan 1-0 dalam saingan Kumpulan D Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Taipei pada Selasa. - Foto Facebook FAM
Darren (dua dari kanan) meledak gol tunggal ketika membantu Malaysia menewaskan Taiwan 1-0 dalam saingan Kumpulan D Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Taipei pada Selasa. - Foto Facebook FAM
A
A
A

MALAYSIA meneruskan momentum kemenangan dalam saingan Kumpulan D Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 setelah menewaskan Taiwan di laman lawan 1-0 sebentar tadi.

Kemenangan itu sekali gus memadam badi skuad Harimau Malaya tewas tiga kali di gelanggang lawan sejak tahun 2000.

Jurulatih negara, Kim Pan-gon melakukan beberapa pertukaran pemain berbanding ketika Malaysia menewaskan Kyrgyzstan 4-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil Khamis lalu.

Ia melibatkan jentera tengah Afiq Fazail bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Brendan Gan, manakala Paulo Josue pula mengambil alih posisi Darren Lok sebagai penyerang.

Sayap lincah, Akhyar Rashid yang masuk sebagai pemain gantian dalam aksi menentang Kyrgyzstan minggu lepas diturunkan bagi memperkuatkan jentera tengah.

Ketiadaan Dominic Tan yang tidak diturunkan akibat kecederaan diganti oleh Junior Eldstal yang bergandingan bersama Dion Cools di benteng pertahanan.

Dalam aksi di Stadium Perbandaran Taipei itu, skuad negara mengasak sejak awal permainan menerusi trio Akhyar, Arif Aiman dan Faisal Halim, namun gagal menemui sasaran.

Percubaan terbaik skuad negara hadir menerusi Stuart Wilkin pada minit ke-40, namun rembatan kencang pemain Sabah FC itu dinafikan penjaga gol lawan, Pan Wenjie.

Artikel Berkaitan:

Berselang dua minit kemudian, Malaysia yang menghuni ranking ke-137 dunia hampir di depan, namun percubaan Faisal dari kiri gawang lawan terkena tiang.

Malaysia turut diuji oleh jentera serangan Taiwan yang diketuai tonggak naturalisasi Ange Samuel Kouame, namun berjaya dipatahkan oleh benteng pertahanan negara.

Memasuki babak kedua, pasukan tuan rumah yang dibimbing Gary White cuba mencari gol pendahuluan, bagaimanapun berjaya disekat dengan baik oleh barisan pemain negara.

Malaysia yang enggan berputus asa, kemudian melakukan pertukaran pemain apabila memasukkan Darren menggantikan Josue, manakala Endrick Dos Santos mengambil alih posisi rakan sepasukan di Johor Darul Ta'zim (JDT), Afiq.

Percaturan Pan-gon itu ternyata menjadi apabila sentuhan duo pemain gantian itu memecah kebuntuan gol buat Malaysia pada minit ke-72.

Bermula dengan rembatan Endrick yang gagal ditangkap kemas Wenjie sebelum bola singgah di kaki Darren yang menyempurnakan dengan baik ketika situasi kelam kabut di kawasan gawang Taiwan.

Dalam saingan Kelayakan Piala Asia pada April 2000, Malaysia kalah 2-3, disusuli Kelayakan Piala Dunia pada Julai 2011 skuad negara tewas 2-3 dan aksi persahabatan pada September 2018 pasukan kebangsaan kecundang 0-2.

Selepas dua perlawanan bulan ini, Malaysia dijadual bertemu pasukan ke-72 dunia, Oman di tempat lawan dan sendiri pada 21 dan 26 Mac tahun depan, bertemu Kyrgyzstan di Bishkek (6 Jun) dan Taiwan (11 Jun) di Kuala Lumpur.

Kemenangan itu juga membantu Malaysia meraih 10.66 mata tambahan sekali gus mampu melonjak kedudukan ranking yang lebih baik buat negara yang ketika ini menghuni tangga ke-137 dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!