Ailton tinggalkan Kijang Hijau
PENGENDALI Sang Kijang Hijau, Ailton Silva sah meninggalkan pasukan itu berkuat kuasa pada Selasa.
Pengunduran pengendali kelahiran Brazil itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan United, Wan Mohd Zul Ikman Wan Abdul Aziz dalam satu kenyataan.
Menurut Wan Mohd Zul Ikman keputusan penamatan kontrak itu dicapai hasil persetujuan bersama walaupun saingan Liga Malaysia masih berbaki tiga perlawanan.
"Buat sementara waktu Nazrulerwan Makmor akan menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih interim.
"Nazrulerwan akan dibantu oleh penolong jurulatih, Tengku Hazman Raja Hassan," katanya.
Wan Mohd Zul Ikman memberitahu, Ailton membuat keputusan itu atas sebab peribadi dan urusan keluarga yang tidak dapat dielakkan.
"Ailton akan pulang ke Brazil selepas mendapatkan perkhabaran bahawa ibunya ketika ini sakit tenat dan memerlukan pemantauan rapi.
"Situasi ini memaksa Ailton melepaskan jawatan yang disandangnya pada ketika ini," ujarnya.
Menurut Wan Mohd Zul Ikman, seluruh warga Kelantan United berasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan Ailton.
Katanya, Kelantan United mendoakan semoga urusan beliau bersama keluarga dipermudahkan.
"Terima kasih atas segala komitmen dan kerja keras yang ditunjukan oleh Ailton," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!