Wanita OKU ditemukan maut dalam bilik sewa
SUNGAI PETANI - Seorang wanita berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran ditemukan meninggal dunia dalam sebuah bilik sewa di Bandar Puteri Jaya di sini pada Isnin.
Mangsa yang berusia 29 tahun itu dipercayai tinggal di bilik sewa terbabit bersama kakaknya yang berusia 30-an sejak Disember lalu.
Difahamkan, kejadian disedari kakak mangsa yang pulang dari tempat kerja sebelum mendapati wanita itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Mangsa bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan mengesahkan kejadian ketika dihubungi pada Selasa.
Jelasnya, seorang suspek direman selama lima hari bagi membantu siasatan.
Menurut Zaidy, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk proses bedah siasat.
Bagaimanapun, katanya, siasatan masih dijalankan berhubung kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!