Hannah mahu konflik PJS, MOM diselesaikan segera
MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu kemelut antara Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) diselesaikan segera.
Malah beliau mengakui tidak mahu salah faham itu menjejaskan keharmonian yang wujud dalam kedua-dua badan tersebut.
"Pagi tadi (Selasa), PJS (Suhardi Alias) mengeluarkan kenyataan beliau berasa kesal terhadap kenyataan susulan yang dikeluarkan.
"Saya meminta Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mempengerusikan satu perbincangan dengan segera bagi memastikan kita selesaikan ini secara aman kerana tidak dapat dinafikan kedua-dua badan ini amat penting.
"MOM penting untuk pembangunan sukan di Malaysia dan PJS memainkan peranan pentadbir untuk Akta Pembangunan Sukan dan saya perlu wujudkan satu sistem harmoni dalam ekosistem sukan.
"Saya percaya selama setahun ini, saya telah melaksanakan secara terbaik untuk mewujudkan sistem harmoni dan membabitkan semua pihak berkepentingan dalam membuat keputusan bersama," katanya dalam satu kenyataan pada malam ini.
Konflik antara PJS dan MOM tercetus apabila satu audio WhatsApp tersebar mengenai Suhardi mengeluarkan kata-kata ugutan sehingga ingin membatalkan pendaftaran MOM.
Rakaman perbualan itu dipercayai dibuat ketika pertemuan antara Suhardi dan dua kumpulan mewakili kelompok pucuk pimpinan e-sukan berhubung pendaftaran serta keahlian antarabangsa sebuah badan induk sukan tersebut pada 14 November lepas.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria kemudian menuntut Suhardi menjelaskan keadaan sebenar memandangkan kenyataan dibuatnya disifatkan melampaui batas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!