Cakap siang pandang-pandang...
MALAYSIA sudah biasa dengan macam-macam video yang dianggap lucah membabitkan tokoh utama negara.
Pada tahun 1988, heboh video mantan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Masa itu belum ada media sosial.
Lepas itu ada video yang dikaitkan dengan seorang pemimpin MCA.
Tak lama dulu ada pula video yang dikatakan membabitkan seorang pemimpin besar Parti Bersatu.
Video terbaru viral babitkan seorang pegawai kanan kerajaan, Tuk Dr Mohammad Agus, yang pernah pimpin Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom).
Memang apa sahaja dikatakan ‘skandal’ tarik perhatian ramai.
Mastermind di belakang video itu tahu orang kita suka tengok, edar dan bahas.
Video itu dikatakan diedit dan dimanipulasi dari rakaman yang dibuat seorang pegawai rendah terhadap bosnya sendiri atas arahan ‘Mr H’.
Agus sendiri dah buat laporan polis dan dedahkan siapa ‘Mr H’.
Bagi Awang, ini soal moral yang serius.
Semua pemimpin patut sedar mereka diawasi lebih-lebih lagi pada era internet ini.
Kata orang Melayu, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.
Nak berbual dengan staf secara video jagalah adab dan susila.
Takut disalah erti dan dianggap skandal.
Awang peringatkan semua pemimpin, ambillah serius hal seperti ini.
Nak mabuk tak usahlah di khalayak.
Nak bervideo-call pastikan dengan siapa kita melakukannya.
Kata orang, jangan biar angin tiup pokok hingga bergoyang pokok itu.
Jika terbukti sahih, jadi tanggungjawab individu itu pula untuk terima padah. Siasat mesti siasat!
JANGAN HARAMKAN SEMUA KONSERT
Taksemua grup pemuzik macam The 1975 yang terang-terang menyokong gerakan LGBT.
Tak semua grup pemuzik sokong Zionis.
Jadi kita tak boleh samakan grup The 1975 yang buat onar di Bukit Jalil semasa Good Vibes Festival beberapa bulan lalu dengan grup Coldplay yang akan buat persembahan kali ini.
Awang terbaca kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah yang gesa anak-anak muda jangan pergi ke konsert itu.
Kononnya grup itu sokong LGBT.
Awang hormati pandangan beliau.
Pada pendapat Awang, bukan caranya menangani isu persembahan hiburan.
Konsert itu bukan dirancang sehari dua.
Dah berbulan-bulan promosi mengenainya.
Sebanyak 85,000 orang dijangka menghadirinya.
Tiket berharga di antara RM228 hingga RM3,088 habis terjual.
Persembahan itu hanya semalam di Malaysia, sedangkan di Singapura enam malam khabarnya.
Awang rasa, sebarang tindakan mengharamkan konsert itu amat negatif kesannya.
Lagipun kita dah mula dikenal sebagai negara yang banyak sangat larangan dalam soal ini.
Sampaikan aktivis seni dan budaya tempatan pun rasa tak boleh bernafas.
Kita kena sedar kandungan kreatif merupakan industri besar di dunia hari ini.
Bagus sangatlah Tuk Seri PMX jumpa Mufti itu untuk buka sikit mindanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!