Pengotor antara punca Aceh enggan terima etnik Rohingya
BANDA ACEH - Sikap mengabaikan kebersihan dan sukar diatur menjadi antara punca sebahagian besar penduduk Aceh menolak kehadiran pelarian Rohingya.
Selain itu, kehadiran pelarian Rohingya didakwa mengganggu kehidupan seharian penduduk, selain muak dengan sikap mereka yang gagal berasimilasi serta tidak menghormati adab dan budaya tempatan.
Sejak Ahad lalu, sebanyak tiga bot yang sarat membawa lebih 500 pelarian Rohingya tiba di perairan paling barat wilayah Aceh.
Satu daripada tiga bot berkenaan tiba di daerah Bireuen dengan membawa 256 orang Rohingya, manakala 239 lagi tiba di Pidie dan satu lagi bot membawa 36 Rohingya berlabuh di Aceh Timur.
Bot-bot tersebut sebelum ini cuba berlabuh di tepi pantai, namun dihalang oleh penduduk setempat.
Ketua Perhubungan Awam Polis Aceh, Joko Krisdiyanto berkata, penduduk mempunyai alasan untuk mengusir pelarian Rohingya kerana pengalaman menerima golongan itu tidak lama dahulu.
“Penduduk sudah muak dan serik dengan tingkah laku mereka. Pelarian Rohingya bukan sahaja tidak menghormati adab penduduk tempatan, malah Islam yang mereka amalkan bertentangan dengan penerapan hukum Islam di Aceh.
“Selain tiada tempat untuk menampung mereka, pelarian Rohingya juga kerap melarikan diri dan tidak tahu menjaga kebersihan,” ujar Joko.
Pada Disember lalu, penduduk di Desa Ulee Blang Mee di wilayah Blang Mangat membantah kebanjiran pelarian Rohingya di hadapan bekas pejabat Imigresen Bandar Lhokseumawe.
Penduduk kampung itu menggesa Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) memindahkan 229 pelarian Rohingya yang ditempatkan sementara di pejabat berkenaan.
Difahamkan, Indonesia bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967.
Ironinya, banyak negara yang menandatangani konvensyen pelarian menutup pintu mereka dan menggunakan pendekatan ‘tolak semula’ golongan tersebut.
Kementerian Luar Indonesia sebelum ini menegaskan ia tidak mempunyai kewajipan atau kapasiti untuk mencari penyelesaian berhubung penempatan semula golongan pelarian termasuk etnik Rohingya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!