Jaga tutur kata, ingat kerana mulut badan binasa
KERANA pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.
Itulah peribahasa yang digunakan setiap kali mengaitkan percakapan kasar atau terlanjur bicara dan akhirnya mengundang ‘musibah’ untuk diri sendiri.
Keadaan itu dilihat sedang dialami oleh seorang pemilik sebuah gedung tekstil apabila menerima kecaman hebat daripada netizen di sosial media setelah videonya merendahkan orang Melayu tular.
Video berdurasi satu minit tujuh saat tersebut memaparkan wanita berkenaan mengatakan Melayu malas.
Selepas itu, tular lagi sebuah video dia memarahi pekerja yang sedang menjahit pakaian dengan nada yang tinggi dan secara tidak langsung telah menambahkan lagi kemarahan netizen terhadapnya.
Walaupun itu hanya kandungan untuk tujuan pemasaran tetapi kaedah digunakan sangat tidak bersesuaian dan memberi contoh yang tidak baik kepada generasi baharu.
Malah, ada yang berpendapat perilaku wanita itu telah mencemarkan imej sebagai wanita muslimah.
Sehingga Selasa, Polis Melaka menerima 14 laporan polis berhubung tindakan tersebut dan Jabatan Siasatan Jenayah Melaka telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan sesuatu kaum.
Dalam pada itu, wanita tersebut juga telah membuat permohonan ampun dalam sebuah video dipercayai ditujukan kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung isu menghina Melayu.
Sebagai manusia biasa, kita sememangnya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, namun perkara yang berlaku ke atas wanita berkenaan memberi pengajaran kepada semua pihak supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata berkait bangsa, kaum dan agama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!