LBS catat keputusan kukuh Q3FYE2023

A
A
A

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San berkata, syarikat itu telah mempamerkan keputusan kewangan yang membanggakan pada suku ini dengan tumpuan terhadap amalan kelestarian.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San berkata, syarikat itu telah mempamerkan keputusan kewangan yang membanggakan pada suku ini dengan tumpuan terhadap amalan kelestarian.

PETALING JAYA - Pemaju perumahan terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) hari ini mengumumkan keputusan suku ketiga (Q3FYE2023), mempamerkan prestasi kewangan yang kukuh dan membuktikan komitmen syarikat terhadap inisiatif Pemuliharaan Alam Sekitar, Tanggungjawab Sosial dan Amalan Tadbir Urus. (ESG)

Dalam satu kenyataan media, pada Q3FYE2023, LBS mencatatkan peningkatan tahun ke tahun yang membanggakan sebanyak 14.2 peratus bagi Keuntungan Selepas Cukai (PAT) berjumlah RM44.7 juta, dan lonjakan keuntungan sebanyak 13.8 peratus bagi Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATMI) yang mencecah RM40.2 juta.

Peningkatan itu disokong oleh pendapatan kukuh sebanyak RM471.5 juta, di mana sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan aktiviti pembinaan di beberapa projek pembangunan utama seperti di KITA @ Cybersouth, LBS Alam Perdana, Projek Idaman dan Prestige Residence.

Segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan syarikat dengan mencatat keuntungan sebanyak RM453.1 juta pada Q3FYE2023. Bagi sembilan bulan berakhir pada 30 September 2023, PAT dan PATMI masing-masing melonjak 11 peratus dan 3.1 peratus. Lebih daripada 89 peratus hasil pendapatan diraih daripada projek pembangunan di Lembah Klang, memberi indikator dan kepentingan kawasan tersebut di dalam menjana prestasi kewangan syarikat untuk tempoh kewangan semasa.

LBS melaporkan jualan hartanah sebanyak RM1.58 bilion pada 20 November 2023, dengan tempahan dalam perancangan sebanyak RM234 juta, menunjukkan peningkatan ketara ke arah sasaran jualan sebanyak RM2.0 bilion bagi tahun 2023.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Selain itu, sehingga 31 Oktober 2023, LBS mempunyai simpanan bank tanah seluas 2,791 ekar dan jualan tanpa bil sebanyak RM2.2 bilion.

Mengulas mengenai hala tuju syarikat dan komitmen terhadap kemampanan, Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San berkata, LBS telah mempamerkan keputusan kewangan yang membanggakan pada suku ini.

Ujar beliau, LBS terus konsisten mengadaptasikan pendekatan yang penuh strategik dan disiplin terhadap projek-projek pembangunan kami. Strategi ini ternyata telah membuahkan hasil berikutan peningkatan 9.5% margin keuntungan berbanding 7.4 peratus pada suku yang sama pada tahun sebelumnya.

“Menuju ke suku akhir 2023, LBS tekad untuk mengekalkan momentum ini. Dengan pelancaran sebanyak RM1.7 bilion setakat ini, kami menerima kadar pengambilan yang kukuh melebihi 80 peratus di keseluruhan projek kami yang sedang berjalan, menunjukkan penerimaan orang ramai terhadap projek hartanah kami.

“Selain itu, LBS dengan sukacitanya ingin mengumumkan kejayaan kami menyiapkan sejumlah 10 projek bernilai RM2.4 bilion, mengikut garis masa yang telah ditetapkan. Ini meletakkan LBS di kedudukan yang positif bagi penutup tahun 2023,” katanya.

Hock San menambah, inisiatif ESG kekal sebagai fokus dan keutamaan LBS.

“Pemasangan panel solar di ibu pejabat kami, galeri jualan KITA @ Cybersouth dan Kilang Konkrit Pra tuang (IBS) di Nilai, di samping perolehan kapasiti tenaga solar 28.67MW melalui Program Kuasa Hijau Korporat merupakan bukti komitmen kami terhadap kemampanan.

“Kami akan terus mengintai peluang di dalam segmen tenaga boleh diperbaharui sekali gus membantu meningkatkan profil ESG kami demi mencapai matlamat Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050,” ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!