Lima orang utan diselamatkan
SANDAKAN - Sebanyak lima ekor orang utan diselamatkan kerana ditinggalkan ibunya atau mengalami kecederaan untuk dipindahkan ke Pusat Pemulihan Orangutan pada tahun ini.
Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Lew memaklumkan tiada sebarang kes direkodkan membabitkan orang utan diburu secara haram atau diselamatkan daripada menjadi haiwan peliharaan sejak tiga tahun lalu.
"Pusat Pemulihan Orangutan pada tahun ini menerima lima ekor orang utan yang diselamatkan kerana ditinggalkan oleh ibunya, mengalamai kecederaan dan ditemui dalam hutan terpencil.
"Keadaan ini menunjukan bahawa jenayah hidupan liar melibatkan orang utan di Sabah berada pada tahap sifar dan Pusat Pemulihan Orangutan kini lebih berfokus pada operasi menyelamat haiwan ini atas sebab semula jadi, konflik dan kekurangan habitat," katanya ketika berucap sempena sambutan Caring Week 2023 di Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok di sini pada Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah Augustine Tuuga.
Sehubungan itu, Christina berkata, semua pihak berkepentingan diminta untuk memantau kehadiran orang utan di habitat yang berdekatan bagi membantu JHL dalam usaha pemeliharaan orang hutan.
"Saya amat berharap bahawa jenayah hidupan liar melibatkan orang utan akan terus kekal pada tahap sifar dan saya mengharapkan agar orang ramai dapat membantu jabatan dalam mengurangkan insiden melibatkan orang hutan," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai program tersebut pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk kempen kesedaran dan pendedahan mengenai hidupan orang utan di negeri ini.
"Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok telah mengadakan pelbagai aktiviti selama lapan hari untuk meningkatkan kesedaran pengunjung.
"Malah program ini turut disambut dengan meriah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Kinabatangan pada 16 November 2023 yang mana sekolah ini terletak berdekatan dengan habitat orang utan di Kinabatangan.
"Pelaksanaan program ini adalah untuk menanamkan rasa sayang terhadap hidupan liar dalam kalangan pelajar sekolah rendah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!