Kemunculan ikan tapah lebih 70kg petanda bah besar?

Gambar tular di media sosial menunjukkan dua kanak-kanak berdiri di sebelah ikan tapah bersaiz besar yang dikatakan ditangkap penduduk kampung di Manir, Kuala Terengganu.
Gambar tular di media sosial menunjukkan dua kanak-kanak berdiri di sebelah ikan tapah bersaiz besar yang dikatakan ditangkap penduduk kampung di Manir, Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tular di media sosial sejak Selasa kemunculan beberapa ekor ikan tapah yang bersaiz besar melebihi 70 kilogram (kg) dikaitkan dengan petanda banjir besar yang bakal berlaku di kawasan terlibat.

Ikan berkenaan dikatakan ditangkap oleh penduduk yang menahan pukat di sekitar kawasan di Kampung Kuala Belara, Manir di sini.

Bagaimanapun, orang ramai diminta untuk tidak berasa panik dengan dakwaan tersebut kerana ia bukanlah satu-satunya petunjuk terhadap perubahan keadaan yang bakal berlaku.

Pengarah Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Amirrudin Ahmad berkata, spesies ikan tapah dan ikan lain yang bersaiz besar sebenarnya masih wujud di sungai-sungai utama di negara ini, namun jarang ditemui nelayan.

Bagaimanapun, katanya, jumlahnya semakin berkurangan ketika ini menjadikan tangkapan ikan bersaiz mega itu dianggap perkara luar biasa oleh kebanyakan masyarakat.

Seorang wanita menunjukkan ikan tapah yang ditangkap dan telah dibelah perutnya di Manir, Kuala Terengganu.
Seorang wanita menunjukkan ikan tapah yang ditangkap dan telah dibelah perutnya di Manir, Kuala Terengganu.

"Di Malaysia, masih belum ada kajian mengenai proses migrasi ikan terutama induk yang bersaiz mega ini ke dataran banjir (floodplain) dan sungai-sungai yang lebih kecil untuk tujuan mengawan dan bertelur.

"Namun, dari sudut biologi dan habitat, ikan bersaiz mega kebiasaannya akan mencari dataran banjir atau sungai-sungai yang ditenggelami banjir untuk bertelur," katanya ketika dihubungi pemberita pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Amirrudin berkata, ikan sungai itu tidak boleh dijadikan sebagai satu-satunya indikator atau jangkaan banjir besar, malah setakat ini tiada dapatan sains yang boleh mengaitkan antara kedua-dua situasi tersebut.

"Setakat ini di Malaysia, kita masih tiada kajian mengenai ilmu pengetahuan dan kearifan tempatan, pengalaman, ramalan atau firasat (seperti cerita rakyat) yang boleh dikaitkan kebenarannya dengan sains.

"Namun, tidak salah untuk kita semua sentiasa berwaspada dengan jangkaan banjir besar kerana dalam teknologi dunia yang semakin canggih ini, banyak maklumat berkaitan perubahan cuaca boleh diperoleh agar kita semua selamat dari perkara tidak diingini, cuma janganlah terlalu taksub dengan kisah-kisah tular seperti ini," katanya.

Terdahulu tular di media sosial sebuah video berdurasi 17 saat mengenai ikan tapah yang berjaya ditangkap oleh penduduk kampung dipercayai diperoleh dari Sungai Nerus.

Video berkenaan mendapat reaksi netizen malah anda antara mereka mendakwa percaya bahawa banjir besar mungkin berlaku berdasarkan pengalaman generasi terdahulu.

Sementara itu, menurut seorang pemancing, Mohd Shah Amri Ismail, 32, ikan bersaiz besar itu terdapat di Tasik Kenyir, namun jarang timbul di permukaan air.

"Sebenarnya ada ikan saiz itu di Tasik Kenyir. Bukan setakat ikan besar yang dijadikan makanan, ia juga boleh menyambar kera atau monyet yang berada berdekatan dengan habitatnya.

"Mungkin ikan-ikan ini mengikut arus sungai yang deras dan terkena pukat yang ditahan penduduk," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!