PRK Kemaman: 'Tugas MB sibuk, beri peluang calon mahu berkhidmat' - Ahmad Said

Ahmad Said
Ahmad Said
A
A
A

CHUKAI - Beri peluang kepada calon yang betul-betul mahu berkhidmat dan mempunyai masa secukupnya untuk Parlimen Kemaman supaya segala isu membelenggu penduduk, mahupun perancangan pembangunannya dapat diangkat ke Dewan Rakyat.

Pengerusi UMNO Terengganu yang juga bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yakin calon Barisan Nasional (BN) Jen(B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor bukan sahaja menepati kriteria itu, malah dapat mewakili penduduk Kemaman sebaiknya.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, antara empat kerusi DUN di bawah Parlimen Kemaman itu, turut mempersoalkan sekiranya Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang dipilih Pas sebagai calon di situ dapat membuat perkara sama berdasarkan rekod prestasi beliau selama ini.

"Tugas sebagai Menteri Besar itu sibuk, apatah lagi kalau ditambah dengan jawatan Ahli Parlimen. Sebelum ini pun dia (Samsuri) pernah tiada dalam negara ketika Terengganu dilanda banjir.

"Menteri Besar tidak akan dapat menjaga empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kemaman ini,” dakwanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

PRK Kemaman yang ditetapkan 28 Nov dan 2 Dis masing-masing bagi pengundian awal dan hari mengundi, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Raja Mohamed Affandi yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera dan Samsuri.

Berbeza dengan Pas, Ahmad berkata, BN telah mengambil satu pendekatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini apabila menampilkan bekas pemimpin tertinggi pentadbiran kerajaan sebagai calon langsungnya.

"Tak pernah berlaku sebelum ini ‘top five’ dalam Malaysia, inilah pertama kali diberi ruang untuk bertanding dan beliau menyambut cabaran itu untuk meneruskan perjuangan beliau.

"Kita nak minta orang Kemaman memilih kita kali ini untuk mewakili satu daripada lapan kawasan Parlimen yang ada di Terengganu. Sekarang ini lapan Parlimen dimenangi oleh Pas, apa rakyat dapat?” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!