'Panjat pagar rumah selamatkan diri'

Mohd Hariz sayu melihat keadaan rumahnya yang hangus terbakar di Taman Sri Impian Sungai Petani Kedah.
Mohd Hariz sayu melihat keadaan rumahnya yang hangus terbakar di Taman Sri Impian Sungai Petani Kedah.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kepulan asap tebal akibat kebakaran membabitkan lima rumah di Taman Sri Impian di sini menyukarkan pergerakan penghuni untuk keluar menyelamatkan diri.

Mangsa, Mohd Hariz Hazwan Abdul Aziz, 34, berkata, berikutan itu dia tidak sempat mencari kunci dan segera memanjat pagar rumah untuk menyelamatkan diri.

Menurutnya, ketika kejadian dia sedang nyenyak tidur sebelum terdengar bunyi letupan dari rumah bersebelahan.

"Ketika itu, kawan saya yang berada di luar juga ternampak kepulan asap dan segera bergegas ke rumah kami untuk memaklumkannya," katanya.

Sebuah PPS dibuka bagi menempatkan mangsa kebakaran di Taman Sri Impian Sungai Petani, Kedah.
Sebuah PPS dibuka bagi menempatkan mangsa kebakaran di Taman Sri Impian Sungai Petani, Kedah.

Mohd Hariz bersyukur semuanya selamat biarpun pada awalnya dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) berikutan mengalami sesak nafas, namun dirawat sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang.

Md Razzi Hassan, 71, pula berkata, bunyi hon motosikal dari luar rumah mengejutkannya dan lima lagi ahli keluarga termasuk isteri, anak, menantu dan dua cucu yang sedang nyenyak tidur.

"Saya tinggal di sini sudah hampir 40 tahun, ini kali pertama kebakaran berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bau Wong (empat dari kiri) menemui mangsa kebakaran di Taman Sri Impian pada Rabu.
Bau Wong (empat dari kiri) menemui mangsa kebakaran di Taman Sri Impian pada Rabu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam, Bau Wong Bau Ek turut memantau keadaan mangsa di lokasi kejadian.

Menurut beliau, terdapat dakwaan mengenai tekanan air rendah di kawasan berkenaan sehingga menjejaskan operasi memadam kebakaran.

"Kita akan minta agensi berkaitan buat semakan berhubung kejadian, buat masa ini, mangsa terjejas akan dipantau sebaiknya," katanya.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, kesemua 20 mangsa dari enam rumah terjejas akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Taman Sri Impian yang dibuka pada jam 9 pagi Rabu.

Menurutnya, kesemua pemilik akan diberikan kit bantuan makanan kecemasan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) selain diminta membuat laporan polis.

"Keadaan terkawal dan tiada mangsa yang cedera," katanya.

Antara salah sebuah rumah yang hangus dalam kebakaran membabitkan lima unit rumah di Taman Sri Impian Sungai Petani.
Antara salah sebuah rumah yang hangus dalam kebakaran membabitkan lima unit rumah di Taman Sri Impian Sungai Petani.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang penduduk mengalami sesak nafas dalam kebakaran membabitkan lima unit rumah kira-kira jam 2.49 pagi Rabu.

Dalam kejadian itu, empatrumah dianggarkan musnah 90 peratus manakala sebuah lagi terbakar sehingga 30 peratus.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!