Perak sasar LTSAS jadi hab penerbangan serantau
BATU GAJAH - Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini disasar menjadi sebuah hab penerbangan serantau sebagai hala tuju baharu sistem pengangkutan di Perak.
Exco Pelancongan, Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, cadangan pelan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) untuk diteliti.
Menurutnya, pertimbangan itu adalah berdasarkan kedudukan LTSAS yang mampu menerbangkan pesawat penumpang seperti Airbus A320 dan A319 serta penerbangan jarak jauh bagi tempoh antara tiga hingga lima jam.
"Sasaran penumpang kita mungkin tidak sama seperti lapangan terbang di Pulau Pinang dan KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), untuk Ipoh (LTSAS) kita dapat penerbangan yang dekat-dekat di rantau Asia itu pun sudah memadai.
"Jadi di pihak kerajaan negeri, kita sudah kemukakan cadangan itu dan perkara ini masih dalam peringkat perbincangan untuk kelulusan kerajaan dan kementerian," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Taman Tema Dinosaur di Silverlakes Village Outlet dekat sini pada Rabu.
Beliau berkata, perbincangan bersama beberapa pemain industri antaranya Thailand telah dibuat agar laluan-laluan baharu penerbangan dapat ditambah dan diwujudkan.
Katanya, setakat ini, kerajaan negeri mendapat maklum balas yang positif daripada syarikat-syarikat penerbangan serantau menerusi persetujuan dua hala.
"Kita hanya boleh berbincang, akhirnya kelulusan bagi penerbangan, pendaratan dan pelepasan itu semuanya perlu datang daripada kerajaan Pusat dan itulah kekangan terbesar kita buat masa ini," katanya.
Perkhidmatan LTSAS ketika ini menyediakan penerbangan antarabangsa Singapura ke Ipoh selain penerbangan domestik ke Johor Bharu.
Kementerian Pengangkutan sebelum ini mengalu-alukan penglibatan pihak swasta untuk membangunkan dan menaik taraf LTSAS yang kurang berdaya saing.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, usahasama menerusi Kerjasama Awam-Swasta atau Public-Private Partnership (PPP) itu diyakini dapat memberi model baharu kepada lapangan terbang sedia ada agar dapat dibangunkan dengan lebih baik.
Ketika ini terdapat beberapa syarikat swasta yang menunjukkan minat dan kesungguhan membangunkan LTSAS dengan membabitkan pelaburan yang besar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!