'Sedia tapak baharu sebelum suruh kami pindah' - Peniaga

Peniaga Pasar Pagi Kuala Sungai mengemas barang perniagaan masing-masing berikutan premis terbabit akan dirobohkan untuk projek pelebaran jalan utama Alor Setar - Kangar. (Gambar kecil: Asmirul Anuar)
Peniaga Pasar Pagi Kuala Sungai mengemas barang perniagaan masing-masing berikutan premis terbabit akan dirobohkan untuk projek pelebaran jalan utama Alor Setar - Kangar. (Gambar kecil: Asmirul Anuar)
A
A
A

ALOR SETAR - Peniaga Pasar Pagi Kuala Sungai memohon pihak berkenaan menyediakan tapak niaga baharu selepas tapak pasar pagi itu dirobohkan pada Selasa berikutan dalam proses pengambilan untuk projek pelebaran jalan utama Alor Setar-Kangar.

Pengerusi Peniaga Pasar Pagi Kuala Sungai, Mohd Subri Mohd Said, 58, berkata, seramai 12 peniaga terlibat ada menerima notis berkaitan, namun tidak dapat keluar dari tapak sedia ada sebelum ini berikutan tidak disediakan tempat baharu.

"Suruh keluar dahulu, baru hendak buat (tapak baharu). Sepatutnya, kena buat baharu dahulu.

"Sekarang, masing-masing terpaksa bawa diri dan tiada hala tuju," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, kebanyakan peniaga yang telah berniaga di pasar sejak 30 tahun dan kini dalam keadaan terdesak berikutan kehilangan tempat mencari rezeki.

"Jika boleh, tolong sediakan tapak alternatif untuk kami dapat meniaga," katanya.

Pasar Pagi Kuala Sungai dirobohkan bagi memberi laluan kerja pelebaran jalan utama Alor Setar-Kangar.
Pasar Pagi Kuala Sungai dirobohkan bagi memberi laluan kerja pelebaran jalan utama Alor Setar-Kangar.

Mohd Subri berkata, mereka telah lama menjalankan perniagaan dan tidak sepatutnya diminta keluar begitu sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Selepas 30 tahun dan selepas dua kali dibaik pulih pasar ini, kami diminta keluar macam itu sahaja," katanya.

Peniaga, Sharifudin Hamid, 47, berkata, dia kecewa kerana terpaksa keluar dari tapak pasar berkenaan tanpa disediakan lokasi alternatif.

Katanya, peniaga sedia bekerjasama dan tidak menghalang kemajuan di kawasan berkenaan, namun ia dilakukan tanpa perbincangan.

"Kami tidak mahu duit, kami mahu tempat. Jika selesai elok dan suruh pindah, kami pindah," katanya.

Seorang lagi peniaga, Abdul Halim Ismail, 53, pula berkata, dia turut berharap tapak niaga baharu disediakan segera untuk mereka berniaga.

Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris berkata, beliau prihatin terhadap isu dialami peniaga Pasar Pagi Kuala Sungai.

Beliau yang Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah berkata, beliau ataupun peniaga terlibat tidak menyalahkan mana-mana pihak berikutan tapak pasar terpaksa dirobohkan.

Bagaimanapun, katanya, agensi- agensi bertanggungjawab perlu berbincang dan bersemuka dengan pihak peniaga terlebih dahulu untuk mencari resolusi isu berbangkit.

Pasar Pagi Kuala Sungai telah beroperasi selama 30 tahun.
Pasar Pagi Kuala Sungai telah beroperasi selama 30 tahun.

"Sepatutnya, kena siapkan tempat berniaga bersesuaian apabila hendak dirobohkan, buat siap-siap," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap, kerajaan negeri mengambil tanggungjawab mencari tapak yang sesuai dan relevan untuk peniaga.

Sementara itu, dalam kenyataan akaun Facebook rasminya, ADUN Kubang Rotan, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, beliau berusaha mendapatkan tempat baharu untuk menempatkan semula peniaga terbabit.

Beliau yang juga Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan memaklumkan, kesemua peniaga bersetuju untuk berpindah ke tempat baharu itu yang terletak di seberang jalan dan bertentangan dengan pasar pagi yang asal.

"Insya-ALLAH, dalam masa terdekat peniaga yang terlibat akan dapat kembali mencari rezeki seperti biasa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!