Menara KL disinari warna oren Sabtu ini
PUTRAJAYA - Menara Kuala Lumpur akan disinari dengan warna oren Sabtu ini sebagai simbolik permulaan kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita (EVAW).
Inisiatif itu merupakan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
KPWKM menerusi kenyataan pada Rabu memaklumkan, warna oren adalah warna global tanda solidariti bagi menghentikan keganasan terhadap wanita.
"Pemilik dialu-alukan untuk menghiasi premis mereka dengan warna oren bagi menyokong kempen ini selain rakyat disaran memakai pakaian berwarna sama pada hari tersebut," kata kenyataan itu.
KPWKM turut menyarankan agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu untuk melaksanakan program kesedaran menghapuskan keganasan dan penindasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan di peringkat akar umbi seperti di komuniti setempat, sekolah, universiti dan tempat kerja supaya kempen tersebut berjaya mencapai matlamatnya.
"Marilah kita sama-sama berganding bahu untuk menjayakan kempen ini dan seterusnya menghentikan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan," tambah kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!