[VIDEO] Simpan 13 burung tanpa lesen, lelaki didenda RM40,000
SEREMBAN - Seorang lelaki didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu kerana menyimpan 11 ekor burung Kelicap Kunyit dan dua ekor burung Bayan Serindit tanpa lesen sah di sebuah premis perniagaan, tujuh tahun lalu.
Hakim Mazni Nawi menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Chee Kong, 38, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, OKS telah didapati menyimpan 11 ekor burung Kelicap Kunyit (Zosterops palpebrosus) dan tanpa lesen iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Kesalahan itu dilakukan pada 3 November 2016, jam lebih kurang 12 tengah hari, di premis perniagaan Jalan Kapitan Tam Yeong di Seremban.
Berikutan itu, OKS telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 60(1)(a) Akta716 dan boleh dihukum di bawah seksyen 60(1) akta yang sama.
Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi lima RM50,000 atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
OKS juga pada tarikh dan lokasi sama telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 62 Akta 716 kerana didapati menyimpan dua ekor burung Bayan Serindit (Loriculus galgulus) betina tanpa lesen.
Bagi kesalahan itu jika disabitkan bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
OKS yang tidak diwakili peguam merayu hukuman yang ringan kerana perlu menanggung ibu dan adik beradik selain perniagaannya yang tidak berapa baik sejak kebelakangan ini.
Dia juga mengaku kesal atas kesalahan dilakukan.
Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar(Perhilitan), Gilmoore Bolongan dalam hujahannya berkata, kesalahan OKS adalah satu kesalahan yang serius.
Ini kerana katanya, status Malaysia sebagai negara membangun yang kaya dengan biodiversiti telah luntur disebabkan oleh reputasi buruk negara sebagai 'trafficking hub' dan 'transit point' untuk perdagangan hidupan liar haram.
"Tindakan OKS ini telah secara langsung menyumbang kepada aktiviti jenayah ini.
"Kepentingan awam mewajarkan hukuman yang berbentuk pengajaran agar dapat membendung bakal-bakal pesalah lain dan mengelakkan mereka dari melakukan jenayah hidupan liar," katanya.
Tambahnya, perkara seperti itu perlulah dipandang serius kerana aktiviti pengambilan hidupan liar di habitat asalnya semakin tidak terkawal menyebabkan banyak impak yang negatif yang berlaku.
Ujarnya, sekiranya aktiviti terbabit tidak dibendung dengan segera, maka burung Kelicap Kunyit dan Bayan Serindit ini akan pupus dan ekosistem habitat semula jadi terjejas.
Mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda RM10,000 gagal bayar empat bulan penjara bagi pertuduhan pertama dan RM30,000 gagal bayar enam bulan penjara bagi pertuduhan kedua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!