[VIDEO] Pengasuh warga Indonesia didakwa abaikan bayi hingga maut

A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pengasuh warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas satu pertuduhan mengabaikan bayi perempuan, Qaseh Aulia Faizul yang berusia dua bulan 26 hari, sehingga membawa kepada kematiannya, Oktober lalu.

Mulyati Kalim, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Syahliza Warnoh.

Pihak polis membawa Mulyati ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Rabu.
Pihak polis membawa Mulyati ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Rabu.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada empat anak itu, didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga Qaseh Aulia, telah mengabaikan bayi tersebut dengan meninggalkannya tanpa pengawasan sehingga membawa kepada kematiannya.

Perbuatan didakwa dilakukan di Taska Juara, Kota Damansara di sini pada jam 9.40 pagi, 10 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, P Vithiya Monisha mencadangkan tertuduh tidak dibenarkan untuk diikat jamin kerana kes berkenaan sangat serius sehingga membawa kepada kematian seorang bayi.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, jika mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan, kami mencadangkan kadar itu ditetapkan sebanyak RM20,000 berserta syarat tambahan iaitu melaporkan diri ke balai polis terdekat.

"Memandangkan tertuduh seorang warga asing, pasport juga perlu diberikan kepada mahkamah," katanya.

Sementara itu, peguam, Badrul Munir Bukhari merayu agar anak guamnya dilepaskan dengan ikat jamin yang rendah.

"Mulyati tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri kerana telah berkahwin dengan warga tempatan selain mempunyai empat anak termasuk seorang anak angkat.

"Susulan kejadian ini, dia tidak lagi bekerja kerana taska berkenaan telah ditutup," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Syahliza membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan dan tidak mengganggu saksi.

Mahkamah menetapkan 21 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Pada Oktober lalu, bayi perempuan berusia dua bulan itu maut dipercayai ketika berada di bawah jagaan pengasuh di sebuah taska di Seksyen 6, Kota Damansara, di sini.

Difahamkan, kejadian itu menimpa Qaseh Aulia, pada hari kedua dia dihantar ke taska berkenaan.

Selain itu, taska tersebut didapati tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!