[VIDEO] Rezeki tapah gergasi bernilai RM1,800

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Empat penduduk Kampung Kuala Belara, Manir di sini mengambil masa kira-kira setengah jam untuk menjinakkan seekor ikan tapah 'gergasi' seberat 75 kilogram yang ditangkap di Sungai Nerus, di sini, pada Isnin.

Ahmad Zalil Awang, 57, berkata, ikan tersebut ditemui terkena pukat yang ditahan di sungai berkenaan sekitar jam 7 pagi.

Kanak-kanak teruja melihat ikan tapah gergasi yang berjaya ditangkap penduduk Kampung Kuala Belara di Manir pada Isnin lalu. Gambar kecil: Ahmad Zalil, Ariffin, Abdullah
Kanak-kanak teruja melihat ikan tapah gergasi yang berjaya ditangkap penduduk Kampung Kuala Belara di Manir pada Isnin lalu. Gambar kecil: Ahmad Zalil, Ariffin, Abdullah

"Pada mulanya saya menyangkakan ia seekor buaya sebab nampak kelibat dari jauh sedang menggelepar di dalam pukat. Bila saya sampai dekat baru tahu rupa-rupanya ia mengena seekor ikan.

"Ini pertama kali saya dan rakan-rakan menangkap ikan sebesar ini kerana saya difahamkan kali terakhir ikan tapah bersaiz besar pernah dinaikkan di sini dalam 15 tahun lepas," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Rabu.

Ahmad Zalil memberitahu, selain tapah gergasi itu, lima ekor lagi ikan yang sama mengena pukat lain yang ditahan dengan setiap seekor seberat 29kg, 25kg, 12kg dan dua ekor lagi seberat 11kg.

Katanya, ikan-ikan itu dijual dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3,800 termasuk tapah gergasi bernilai RM1,800 dibahagikan bersama tiga lagi rakan iaitu Abdullah Mat Ali, 56, Ariffin Ibrahim, 50, dan Che Wan Izan Che Wan Othman, 40.

Artikel Berkaitan:

Antara ikan tapah yang mengena pukat pada hari pertama banjir di Terengganu, Isnin lalu.
Antara ikan tapah yang mengena pukat pada hari pertama banjir di Terengganu, Isnin lalu.

Sementara itu, Abdullah menyangkal dakwaan bahawa kehadiran ikan tapah besar sebagai petanda banjir besar bakal berlaku.

Sebaliknya dia berkata, sudah menjadi kelaziman ikan-ikan itu muncul berdekatan permukaan sungai untuk bertelur ketika musim tengkujuh.

"Orang kampung di sini sudah biasa nampak ikan tapah gergasi cuma belum ada rezeki dapat. Biasanya yang ditangkap berat sekitar 30 hingga 40kg sahaja.

"Rasanya banyak lagi ikan dalam Sungai Nerus tu sebab pernah nampak yang lagi besar mungkin dalam 100kg. Setiap kali musim tengkujuh memang selalu nampak sebab ikan-ikan ni akan cari habitat air yang tenang di kawasan limpahan sungai untuk bertelur," katanya.

Ariffin pula berkata, sudah menjadi kebiasaan penduduk kampung itu menangkap ikan pada musim tengkujuh sebagai pendapatan sampingan.

"Biasanya apabila air melimpah pada musim tengkujuh, dah jadi macam acara penduduk kampung pergi ke kawasan hulu sungai untuk memukat ikan.

"Nak dijadikan rezeki dapatlah ikan besar tahun ini. Ia pula ditangkap ketika hari pertama banjir melanda Terengganu pada Isnin lepas," katanya.

Pada Selasa, tular video berdurasi 17 saat di media sosial menunjukkan seekor ikan tapah gergasi berjaya ditangkap oleh penduduk kampung.

Video berkenaan menimbulkan pelbagai reaksi netizen sehingga ada antaranya mengaitkan dengan kemungkinan berlakunya banjir besar berdasarkan pengalaman generasi terdahulu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!