Kes denggi: MBSJ kenal pasti 13 titik panas

MBSJ mengenal pasti 13 'titik panas' denggi di bawah pentadbiran PBT berkenaan. (Gambar kecil: Mohd Fauzi)
MBSJ mengenal pasti 13 'titik panas' denggi di bawah pentadbiran PBT berkenaan. (Gambar kecil: Mohd Fauzi)
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengenal pasti 13 'titik panas' denggi di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Datuk Bandar MBSJ, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, 13 lokasi itu ialah di PJS 11/26, USJ 11/1, USJ 14 (Subang Perdana Goodyear court 8), Putra Height 8 (Jalan Putra Bahagia 8/3), Taman Puchong Perdana 1, Bandar Kinrara 4 (Jalan BK 4/1, sebahagian 4/2-4/4) dan Taman Saujana Puchong SP 3.

Menurut beliau, selain itu Taman Serdang Perdana SP5, Bandar Bukit Puchong BP1, Taman Sungai Besi Indah 3 (Desa Saujana), Taman Saujana Puchong SP 3, Taman Puncak Jalil 2D dan Taman Puchong Indah 3.

"MBSJ telah mencatatkan kumulatif kes demam denggi sebanyak 6,971 kes dengan kes semasa sebanyak 111 kes pada minggu epid ke-46," katanya pada Perutusan Mesyuarat MBSJ di Bilik Mesyuarat Kenanga, Aras 2, Ibu Pejabat MBSJ pada Rabu.

Bagaimanapun, Mohd Fauzi berkata, terdapat penurunan kes sebanyak empat peratus berbanding kes semasa pada minggu epid ke-45.

Beliau memberitahu, secara keseluruhannya kes demam denggi pada tahun ini mencatatkan peningkatan sebanyak 44 peratus jika dibandingkan dengan minggu epid sama pada tahun lalu.

Sehubungan itu, katanya, penduduk diminta menjalankan kempen 10 minit seminggu sekali mencari dan memusnahkan tempat pembiakan bagi memastikan tiada takungan air yang boleh menjadi punca pembiakan Aedes.

"Selain itu, pihak komuniti turut digalakkan menjalankan aktiviti gotong royong bagi memusnahkan tempat pembiakan Aedes.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya terdapat gejala demam denggi, penduduk dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan segera di klinik-klinik dan hospital terdekat," tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!