Silverlakes Village Outlet mula operasi Disember ini

Sze Yee (tiga dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Taman Tema Dinosaur di Silverlakes Village Outlet di Batu Gajah pada Rabu.
Sze Yee (tiga dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Taman Tema Dinosaur di Silverlakes Village Outlet di Batu Gajah pada Rabu.
A
A
A

BATU GAJAH - Pengoperasian pusat komersial Silverlakes Village Outlet di sini yang tertangguh sejak 2020 akan dibuka secara berperingkat bermula bulan hadapan.

Exco Pelancongan, Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, buat permulaan 60 peratus outlet merangkumi lot perniagaan, hiburan, makanan dan minuman serta francais produk antarabangsa dan tempatan dibuka di situ.

"Penangguhan sebelum ini tidak dapat dielakkan disebabkan pandemik Covid-19 termasuklah beberapa kekangan tertentu.

"Ketika ini kita sudah mendapatkan komitmen daripada syarikat-syarikat terlibat untuk membuka perniagaan di sini dan sasaran kita dalam tempoh tiga ke enam bulan lagi, kesemua 160 lot yang disediakan di pusat komersial ini dapat beroperasi sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Taman Tema Dinosaur di Silverlakes Village Outlet, di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengerusi Silverlakes Village Outlet, Datuk Azizan Abdul Rahman; Pengarah Urusan, Shaik Rizal Sulaiman; Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), Mohamad Razif Ramli dan Ketua Eksekutif Wegrow Global, Datuk Yong Lam Woei.

Dinosaur Encounter yang akan dibuka pada Disember depan di Silverlakes Village Outlet mengetengahkan konsep taman tema didik hibur kepada pengunjung.
Dinosaur Encounter yang akan dibuka pada Disember depan di Silverlakes Village Outlet mengetengahkan konsep taman tema didik hibur kepada pengunjung.

Silverlakes Village Outlet antara lain mengetengahkan pusat beli-belah berkonsepkan seperti Johor Premium Outlet itu mula dibina pada April 2017 di kawasan seluas 13.35 hektar.

Artikel Berkaitan:

Pusat komersial yang sepatutnya dibuka pada hujung tahun 2020 itu secara fizikalnya telah siap dibina, tetapi masih belum dibuka kepada umum hingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan warga Perak.

Mengulas lanjut, Sze Yee berkata, pembukaan pusat perniagaan berasaskan keindahan tasik dan alam semula jadi itu bakal menjadi satu lagi daya tarikan pelancong ke Lembah Kinta terutama sempena Tahun Melawat Perak 2024.

Katanya, pusat itu juga menjadi pelengkap kepada destinasi pelancongan seperti Galeri Rumah Lat yang menempatkan karya-karya kartunis Kampung Boy, Kellie's Castle, Taman Herba dan Maze Garden@ TT5 yang terletak di Warisan Kampung Korek Tanjung Tualang di jajaran kawasan Batu Gajah.

"Ini bertepatan dengan usaha kerajaan negeri untuk meluaskan pengalaman kehadiran pengunjung apatah lagi kebanyakan pelancong yang datang ke Perak merupakan pelancong domestik," katanya.

Sementara itu, Taman Tema Dinosaur yang dikenali Dinosaur Encounter akan dibuka pada Disember depan dengan mengetengahkan konsep taman tema didik hibur.

Taman tema yang merekodkan pelaburan berjumlah RM15 juta itu merupakan taman dinosaur keenam di Malaysia yang mempamerkan konsep baharu iaitu kombinasi taman hiburan secara indoor dan outdoor yang akan dilaksanakan secara berfasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!