Arif Aiman, Faisal dapat pujian jurulatih Taiwan
PENGENDALI Taiwan, Gary White mengakui dua tonggak serangan Harimau Malaya iaitu Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim memberikan banyak masalah kepada pasukannya ketika tewas 0-1 dalam aksi kedua Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Perbandaran Taipei pada Selasa.
Menurutnya, kelincahan dan kemampuan kedua-dua pemain itu sememangnya sukar untuk dihalang sekali gus menyaksikan benteng sebelah kanan Taiwan kerap bocor.
"Pemain nombor 12 (Arif Aiman) dan 7 (Faisal Halim) adalah pemain yang hebat, pantas dan bergerak dengan cepat.
"Mereka memanipulasi ruang sebelah kanan dari awal dibantu pemain nombor 2 (Matthew Davies), jadi apa yang kami buat adalah pastikan kami kekal dalam formasi namun kesilapan individu membenarkan mereka menjaringkan gol," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, jaringan tunggal Darren Lok menghampakan pasukan tuan rumah dan memastikan Harimau Malaya membawa pulang tiga mata berharga selain turut mengungguli Kumpulan D.
White turut mengucapkan tahniah kepada pasukan Malaysia dan menegaskan kekalahan pasukannya itu kerana kesilapan individu.
"Tahniah kepada Malaysia kerana mendapat tiga mata. Kami dihukum kesilapan individu dan Malaysia mungkin rasa mereka bernasib baik pulang dengan tiga mata tetapi Kim Pan-gon menjalankan tugas dengan baik untuk membina satu skuad terbaik dengan pemain berpengalaman.
"Malaysia membawa semua pemain terbaik untuk kempen kelayakan ini berbeza dengan kami. Tahniah kepada persatuan anda kerana melakukan perkara yang betul dan anda raih kebaikannya kini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!