Video tular: Polis rakam keterangan 'Mr H' petang ini
KUALA LUMPUR - Polis akan merakam keterangan individu dikenali 'Mr H', petang Rabu, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rakaman video tular perbualan membabitkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis akan merakam keterangan 'Mr H' pada jam 5.30 petang di Balai Polis Presint 11, Putrajaya.
"Selain itu, tiga orang saksi telah dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
"Beberapa saksi lain juga akan dirakam percakapan dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, setakat ini, pihak polis tidak menerima sebarang laporan polis dibuat oleh Penolong Pegawai di J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir berkaitan ancaman keselamatan ke atas dirinya.
"Setakat jam 2 petang tadi, tiada laporan polis yang diterima daripada Abdul Wahab," katanya.
Jumaat lalu, Mohammad Agus dan Abdul Wahab dalam satu sidang media khas mendakwa video perbualan mereka yang tular di media sosial sebenarnya sudah disunting.
Abdul Wahab, 33, mendakwa telah diarahkan oleh individu bernama 'Mr H' untuk merekod video perbualannya bersama bekas Ketua Pengarah J-KOM itu.
Pada Isnin, Mohammad Agus dilaporkan berkata, identiti 'Mr H' telah didedahkan kepada pihak polis ketika memberi keterangan kepada pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!