JPA diminta pertimbang tambah perjawatan kontrak, tetap APM


Armizan (dua, kiri) melawat reruai pada Majlis Madani Siaga 'Sigap Pertahanan Awam: Siaga MTL' Tahun 2023 di Ibu Pejabat Pertahanan Awam pada Rabu. - Foto Bernama
Armizan (dua, kiri) melawat reruai pada Majlis Madani Siaga 'Sigap Pertahanan Awam: Siaga MTL' Tahun 2023 di Ibu Pejabat Pertahanan Awam pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KAJANG - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempertimbangkan penambahan perjawatan kontrak dan tetap bagi pegawai serta anggota di peringkat daerah dan negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara berkenaan telah dibawa ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk diperhalusi.

Bercakap dalam sidang media selepas Majlis Madani Siaga 'Sigap Pertahanan Awam: Siaga MTL (Monsun Timur Laut)' di Ibu Pejabat APM Kajang pada Rabu, Armizan berkata, JPM akan membentangkan cadangan itu kepada JPA dalam tempoh terdekat.

"Menjadi satu keperluan untuk diwujudkan perjawatan tetap dan kontrak tambahan kepada APM khususnya bagi mempertingkat serta memperkasakan kefungsian APM sebagai urus setia kepada jawatankuasa bencana di peringkat negeri dan daerah,” katanya.

Armizan - Foto Bernama
Armizan - Foto Bernama

Mengulas mengenai MTL, Armizan berkata, APM telah meningkatkan kesiapsiagaan dengan kekuatan 1,203 pegawai dan 13,637 anggota di seluruh negara, manakala dari segi jentera operasi pula melibatkan 991 bot dan 675 aset darat.

Armizan berkata, banjir pada skala besar dijangka berlaku serentak di Johor, Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Justeru, katanya, bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi risiko bencana MTL kali ini, APM menyediakan Pasukan Respon Bencana Sokongan (Paras) dari negeri sekitar yang akan digerakkan sebagai pasukan tindakan balas (responder) pada bila-bila masa.

Artikel Berkaitan:

Armizan (sembilan, kiri) bergambar pada Majlis Madani Siaga 'Sigap Pertahanan Awam: Siaga MTL' Tahun 2023 di Ibu Pejabat Pertahanan Awam pada Rabu. - Foto Bernama
Armizan (sembilan, kiri) bergambar pada Majlis Madani Siaga 'Sigap Pertahanan Awam: Siaga MTL' Tahun 2023 di Ibu Pejabat Pertahanan Awam pada Rabu. - Foto Bernama

Menurutnya, bagi Kelantan, pasukan Paras yang akan membantu adalah dari Perlis, Perak dan Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Utara, manakala pasukan Paras Selangor dan Kuala Lumpur akan membantu Terengganu.

Di Pahang, pasukan Paras yang akan membantu adalah dari Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Timur dan Negeri Sembilan, manakala Johor akan dibantu pasukan Paras Melaka dan Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Selatan.

Menurut Armizan, penubuhan Paras merupakan antara strategi penambahbaikan dalam meningkatkan kesiapsiagaan bencana di seluruh negara.

Terdahulu, APM hari ini menerima aset baharu antaranya 225 motosikal, 100 ambulans, 46 kenderaan pacuan empat roda dan enam bot enjin berkuasa 250hp. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!