KPWKM cadang wujud pusat jagaan warga emas di fasiliti kerajaan
KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mewujudkan pusat jagaan warga emas di fasiliti kerajaan tahun depan, dengan caj perkhidmatan penjagaan pada kadar minimum.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, usaha ini bagi meringankan beban penjawat awam terutama golongan wanita yang bergelut dengan kerja dan pada masa sama mahu menjaga orang tua.
"Ini merupakan inisiatif kerajaan untuk membawa wanita yang telah berhenti kerja demi menjaga orang tua, untuk kembali sebagai tenaga kerja,” katanya pada sidang media selepas pelancaran kempen MindCare: Proactive Mental Health Support for Caregiving Communities di sini pada Rabu.
Beliau berkata, ia penting untuk meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita kepada 59 peratus menjelang 2025 seperti yang disasarkan oleh KPWKM.
"Untuk mencapai peratusan itu, kerajaan perlu memainkan peranan dengan memastikan adanya pusat jagaan kanak-kanak atau warga emas kerana mereka (wanita) berkemungkinan mempunyai ibu bapa yang perlu dijaga.
"Negara memerlukan wanita untuk kembali bekerja,” katanya.
Nancy berkata, penyertaan daripada sektor swasta dalam menyediakan kemudahan penjagaan pada kos berpatutan turut memberikan kelegaan bagi mereka yang memerlukan bantuan penjagaan.
Selain itu, KPWKM juga berharap dapat menyiapkan sebuah pusat penempatan sementara merangkumi pusat jagaan warga emas serta pusat jagaan harian di kemudahan kerajaan yang baru dibina di Nibong Tebal, Pulau Pinang tahun depan.
Sementara itu, kempen MindCare adalah usaha Kiddocare dan FWD Takaful bertujuan mempromosi dan memperkasa kesejahteraan mental dalam kalangan penjaga di negara ini.
Bagi menangani isu kesihatan mental dihadapi masyarakat, Nancy dalam ucaptamanya berkata, industri penjagaan memerlukan latihan penilaian bagi menyediakan persekitaran yang lebih menyokong dan inklusif untuk penjaga serta penerima penjagaan di negara ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!