Bimbang hilang hak, kuasa punca Dong Zong bantah jawi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dibimbangi akan kehilangan hak dan kuasanya sekiranya pembelajaran pengenalan tulisan jawi di sekolah vernakular diteruskan.

Pendirian itu dinyatakan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menerusi buku digital berbahasa Melayu yang menjelaskan secara terperinci sebab-sebab bantahan terhadap pembelajaran jawi di sekolah vernakular.

Dalam buku itu menyebut, "Bantahan diteruskan kerana jemaah menteri dan Kementerian Pendidikan masih mengabaikan hak dan kuasa LPS dan tidak menjadikan LPS sebagai pihak yang membuat keputusan sama ada setuju atau tidak setuju dalam pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi."

Menurut Dong Zong, cubaan berhubung dengan Kementerian Pendidikan tentang isu penglibatan LPS dalam proses membuat keputusan juga gagal mendapat respons.

Katanya, Garis Panduan Pelaksanaan Pengenalan Tulisan Jawi yang diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) mengetepikan hak-hak murid dan ibu bapa untuk memilih tidak menyertai pelaksanaan tersebut di Tahun 5 dan 6 sekali gus tidak menghormati hak dan kuasa LPS.

"Garis panduan tersebut juga membawa perpecahan, ketidakharmonian dan perselisihan di antara LPS, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan ibu bapa murid yang berbilang etnik.

"Ini seumpama bom jangka yang merosakkan keharmonian dan pembangunan sekolah. la juga meminggirkan hak dan kuasa kedua-dua LPS dan PIBG. Lebih serius lagi, sekiranya perkara ini dibiarkan berlaku, maka LPS akan kehilangan hak dan kuasanya," katanya.

Buku 16 halaman itu bertajuk 'Isu Tulisan Jawi: Mempertahankan Hak Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan' turut menjelaskan tentang Akta Pendidikan 1996 yang memperuntukkan peranan lembaga pengelola sekolah dalam menentukan dasar di sekolah vernakular yang menurutnya kini dicabuli.

Artikel Berkaitan:

"LPS Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) selaku organisasi yang mengurus SJKC, juga memikul peranan besar untuk mempertahankan SJKC, ini termasuk mempertahankan ciri-ciri SJKC seperti hak dan kuasa LPS," katanya.

Turut diperincikan dalam buku tersebut ialah perbezaan antara seni khat dan tulisan jawi dan sama ada bantahan yang dibangkitkan adalah tentang pembelajaran bahasa Melayu atau tulisan jawi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!