Maritim Malaysia lancar pelan strategik 10 tahun perkasa pasukan
KUALA LUMPUR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melancarkan Pelan Strategik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia 2023-2033 bagi terus memperkasakan agensi ini.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, pelan strategik 10 tahun ini dirancang sebagai landasan pertengahan untuk mencapai status sebagai pusat kecemerlangan serantau dalam penguatkuasaan maritim, carilamat atau bantuan bencana.
Menurutnya, pelan strategik ini menggariskan empat teras utama iaitu memperkukuh keselamatan dan ketenteraman maritim, memperkasakan pengurusan logistik dan pembangunan, memperkasa sistem penyampaian dan tadbir urus serta memperkasa tenaga kerja yang terampil serta berintegriti.
"Pelan strategik ini dihasilkan bersesuaian dengan perubahan keadaan strategik maritim dan kepelbagaian jenayah maritim serta risiko terhadap komuniti maritim.
"Melalui pelan ini diharapkan Maritim Malaysia mampu merealisasikan visi untuk menjadi antara agensi penguatkuasaan maritim terbaik di dunia," katanya pada Rabu.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Pelancaran Pelan Strategik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia 2023-2033 di ibu negara.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Bahagian II, Bahagian Keselamatan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Shamril Faizalis Shamsul Bahari serta Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Mohd Norzam Mustapa.
Tambah Hamid, fokus utama pelan strategik ini adalah bagi memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang maritim dan panduan dalam membimbing melalui setiap langkah dan keputusan yang diambil dalam perjalanan menuju kecemerlangan.
Jelasnya, dalam konteks carilamat atau bantuan bencana, tumpuan turut diberikan melalui bagaimana meningkatkan profesionalisme dan tindakan yang lebih holistik pihaknya dalam memberikan bantuan kepada mangsa.
Selain menjadikan pelan strategik ini sebagai panduan dan rujukan kepada semua peringkat di Maritim Malaysia, beliau turut menggesa agar warga agensi ini menjadi lebih kreatif dan berinovasi dalam usaha membanteras jenayah maritim.
Dalam majlis itu, Hamid menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada agensi penguatkuasaan, pemegang taruh, pihak berkepentingan serta United Nations Office of Drugs and Crime (Global Maritime Crimes Programme) dalam merealisasikan penghasilan Pelan Strategik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia 2023-2033.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!