150 penggubal dasar KPM sertai webinar Penerbit Pendidikan Malaysia

Tangkap layar perbincangan dan perkongsian ilmu dalam webinar Penerbit Pendidikan Malaysia pada Rabu. Gambar kecil: Sheikh Faisal dan Sothinathan
Tangkap layar perbincangan dan perkongsian ilmu dalam webinar Penerbit Pendidikan Malaysia pada Rabu. Gambar kecil: Sheikh Faisal dan Sothinathan
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 150 penggubal dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan 70 guru antara 350 peserta terlibat dalam webinar Penerbit Pendidikan Malaysia yang berlangsung pada Rabu.

Webinar itu turut melibatkan 24 panel pakar penerbitan serta pendidikan daripada 15 negara seperti Singapura, Jerman, Australia dan beberapa lagi negara.

Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa), Sheikh Faisal Sheikh Mansor berkata, webinar tersebut merupakan sumbangan pihaknya untuk meningkatkan sistem pendidikan negara melalui perbincangan dan perkongsian bersama pakar-pakar tempatan serta antarabangsa.

“Kami berasa teruja tahun ini dapat bersama ketua penilaian Pentaksiran dan Kajian Perbandingan Antarabangsa (PISA) serta Kajian Trend Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS), guru-guru, penerbit selain orang awam yang berkongsi pandangan mereka.

“Ia sesuai dengan tema yang diketengahkan dalam webinar iaitu Membangunkan Pelajar Abad ke-21: Polisi, Strategi dan Bahan-Bahan Pendidikan demi mempersiapkan ekosistem pendidikan negara kita untuk masa depan,” katanya.

Antara panel antarabangsa yang terlibat ialah Pengarah Pendidikan dan Kemahiran Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Dr Andreas Schleicher dan Pengarah Eksekutif Persatuan Antarabangsa Penilaian Pencapaian Pendidikan (IEA), Dr Dirk Hastedt.

Antara panel antarabangsa yang terlibat Schleicher dan Hastedt.
Antara panel antarabangsa yang terlibat Schleicher dan Hastedt.

Selain itu, pakar tempatan yang turut serta ialah Presiden Persatuan Pendidikan Malaysia (Perpema), Datuk Satinah Syed Saleh dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pengerusi webinar yang juga Naib Presiden Mabopa, Sivabalan Sothinathan berkata, sesi dialog dan perkongsian ilmu menerusi webinar itu mampu membantu dalam meningkatkan prestasi pelajar di negara ini.

Katanya, penganjuran program seumpama itu akan diteruskan pada masa akan datang sebagai kunci meningkatkan hasil pendidikan pelajar di Malaysia.

“Kami mempunyai ramai insan yang bekerja keras untuk meningkatkan sistem pendidikan kita seperti KPM, penerbit, pembekal perkhidmatan ini dan ramai lagi tetapi ada masanya kurang dialog atau komunikasi antara mereka.

“Sebarang tembok halangan sama ada kekurangan kesedaran, pemikiran negatif atau polisi yang ketinggalan zaman perlu diselesaikan supaya kerjasama yang sesuai dapat dijalankan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!