Zon bebas cukai Rantau Panjang tidak mati

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Mohd Shuhairy)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Mohd Shuhairy)
A
A
A

PASIR MAS - Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) menjelaskan zon bebas cukai Rantau Panjang di sini tidak 'mati' walaupun dua pintu masuk Pusat Pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) ditutup kepada orang awam pada jam 10 malam hingga 6 pagi.

Hal ini kerana pintu dua tetap beroperasi 24 jam sehari bagi memudahkan urusan penduduk setempat.

Setiausaha MDPM, Mohd Shuhairy Samsudin berkata, kedua-dua pintu masuk tersebut terpaksa ditutup atas faktor keselamatan.

Menurutnya, perkara tersebut telah diputuskan oleh Jawatankuasa Zon Bebas Cukai yang terdiri daripada MDPM, Kastam dan beberapa agensi lain.

"Buat masa sekarang keputusan masih lagi kekal sepertimana yang ditetapkan.

"Hanya pintu masuk dua sahaja dibuka 24 jam. Manakala pintu masuk satu dan tiga kekal dibuka sehingga jam 10 malam sahaja," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau memberitahu, kalau diikutkan pada sebelah malam tiada aktiviti di kawasan zon bebas cukai kerana kebanyakan peniaga kebiasaannya menutup kedai sekitar jam 6 petang.

Ujarnya, jika ada sekalipun orang ramai masih boleh menggunakan pintu masuk kedua untuk keluar masuk.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Rabu melaporkan peniaga di zon bebas cukai di sini mendakwa hilang punca pendapatan apabila pintu satu dan tiga Pusat Pemeriksaan Kastam ditutup kepada orang ramai sejak November tahun lalu.

Kedua-dua pintu masuk tersebut ditutup bermula jam 10 malam hingga 6 pagi sehingga menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai yang menyangka 'syurga' beli-belah itu 'mati' pada sebelah malam.

Ini memberi kesan kepada lebih 30 peniaga makanan serta runcit yang berniaga pada sebelah petang apabila mereka mendakwa mengalami kerugian kerana hanya mampu berniaga sekitar tiga jam pada sebelah malam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!