Amukan gajah: Rumah, kenderaan rosak di Lenggong
LENGGONG - Sebuah rumah termasuk motosikal di Kampung Talong Luat di sini rosak teruk selepas diserang gajah liar hari ini.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, pihaknya menerima aduan orang awam pada jam 5 pagi mengenai kejadian tersebut, namun tiada penghuni di rumah terbabit ketika kejadian.
"Berdasarkan maklumat jiran terdekat, pemilik rumah tersebut sedang berada di Kuala Lumpur dan hanya sebulan sekali balik ke rumah tersebut," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, pihaknya turut menerima laporan mengenai serangan gajah tersebut dan pegawai Perhilitan sudah ke lokasi untuk memantau keadaan bagi memastikan keselamatan penduduk.
"Kita percaya serangan tersebut membabitkan sekumpulan lima hingga enam ekor gajah yang sebelum ini dilaporkan merosakkan kebun milik penduduk kampung berkenaan.
"Tindakan gajah-gajah ini kita percaya untuk mencari makanan di rumah tersebut," katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan melakukan tangkapan untuk dipindahkan ke lokasi lain dalam masa terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!