'Jeda kemanusiaan' di Gaza akan diumum dalam masa 24 jam
ISTANBUL - Permulaan 'jeda kemanusiaan' antara Israel dan Hamas akan diumumkan dalam tempoh 24 jam, kata Kementerian Luar Qatar pada Rabu.
"Qatar mengumumkan kejayaan usaha menjadi pengantara bersama dengan Mesir dan Amerika Syarikat (AS) yang menghasilkan perjanjian untuk jeda kemanusiaan antara Hamas dan Israel,” kata Kementerian Luar Qatar di X lapor Agensi Anadolu.
Menurut kementerian itu, jeda kemanusiaan akan berlangsung selama empat hari dan tertakluk kepada lanjutan.
Dalam tempoh itu, bantuan kemanusiaan termasuk bahan api akan dibenarkan masuk ke Semenanjung Gaza.
"Qatar mengesahkan komitmennya terhadap usaha diplomatik berterusan untuk meredakan ketegangan, menghentikan pertumpahan darah dan melindungi orang awam.
"Sehubungan itu Qatar menghargai usaha Mesir dan AS dalam mencapai persetujuan berkenaan," kata kementerian itu. - Bernama-Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!