Surah Al-Imran bantu organisasi bangkit - Irmohizam
SHAH ALAM - Organisasi perlu bangkit daripada ujian dengan berpandukan surah al-Imran ayat 103 yang mengajar erti jalinan kerjasama agar mampu terus kekal relevan.
Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berkata, beliau sendiri berdepan cabaran ketika negara dilanda pandemik Covid-19, namun sedar tidak boleh sekadar merintih.
“Pengalaman saya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19, WTCKL tidak dapat menjalankan sebarang aktiviti sama ada persidangan atau pameran hampir dua tahun menyebabkan pendapatan sukar diperolehi.
“Jadi memikirkan itu, kita harus bernafas dengan mengutarakan idea-idea baharu termasuk dengan menjalinkan kerjasama. Alhamdulillah WTCKL terpilih menjadi pusat vaksinasi.
"Bagaimana kita boleh bangkit, kekal relevan dan bersaing bukan hanya dalam konteks pusat konvensyen ini tetapi bagaimana kita nak menunjukkan dalam versi al-Quran khususnya surah al-Imran ayat 103," katanya.
Beliau berkata demikian ketika temu bual khas dalam program Road To World #QuranConvention bertajuk ‘Serve To Be Served: A Divine Guidance From Surah Al-Insan’ bersiaran secara langsung di Facebook Quran Hour yang dihoskan Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail pada Selasa.
Tambah Irmohizam, pihaknya turut menitikberatkan persekitaran tempat kerja, keselamatan dan kualiti pengurusan WTCKL bukan hanya untuk memastikan keselesaan pekerja namun bertujuan menarik lebih ramai pelanggan.
“Kita juga mempunyai sijil ISO 9001:2015, mengutamakan pengurusan berasaskan kualiti yang diiktiraf di peringkat dunia. Ini dapat memberi keyakinan kepada mereka termasuk rakan-rakan khususnya dalam industri acara perniagaan.
“Alhamdulillah, selain itu WTCKL antara pusat konvensyen pertama di rangkaian Persatuan Pusat Dagangan Dunia yang memperkenalkan pensijilan Anti-Bribery Management System (ABMS).
"Ini menunjukkan komitmen kami selain menekankan etika dan tata kelola supaya dapat meningkatkan reputasi organisasi di mata,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!