Ranking FIFA: Langkah besar Harimau Malaya
HARIMAU Malaya dijangka bakal melangkau sehingga tujuh anak tangga dalam kemas kini ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas kejayaan menewaskan Kyrgyzstan dan Taiwan dalam aksi Kumpulan D Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.
Berdasarkan pengiraan tidak rasmi, Harimau Malaya telah memungut 26.15 mata hasil dua kemenangan tersebut untuk meletakkan pasukan kendalian Kim Pan-gon itu di kedudukan ke-130 dunia.
Ketika ini Malaysia berada di kedudukan ke-137 dunia dalam kemas kini terakhir yang dilakukan FIFA pada Oktober lalu.
Untuk rekod ranking terbaik yang pernah dicapai oleh Harimau Malaya adalah kedudukan ke-75 dunia ketika pengiraan ranking FIFA mula diperkenalkan pada 1992.
Peningkatan ranking di kedudukan ke-130 dunia yang dipamerkan Harimau Malaya ini juga amat positif kerana kali terakhir pasukan bola sepak negara mencapai ranking bawah 130 adalah ketika 2005 (ranking ke-123).
Selepas itu, ranking tersebut terus merosot sehingga paling teruk pernah dicatatkan pada kedudukan ke-167 dunia pada 2018.
Selepas ini, skuad negara akan mengharungi dua aksi persahabatan pada awal tahun depan sebelum menghadapi Piala Asia di Qatar.
Kemudian, mereka akan menyambung aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 bertemu Oman pada 21 Mac di laman lawan sebelum sekali lagi bertemu pasukan sama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Mac.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!