JPAM pasang bendera merah 'larang' aktiviti laut
KOTA BHARU - Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sudah memasang bendera merah sebagai amaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti pantai di Pantai Irama, Bachok berikutan ombak kuat.
Tinjauan Sinar Harian kira-kira jam 5 petang di pantai itu mendapati enam bendera dipasang di sekitar Menara Penyelamat Pantai jabatan berkenaan.
Turut dipasang ialah papan tanda amaran ombak tinggi yang boleh mengakibatkan kecederaan serius.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bachok, Leftenan Pertahanan Awam (PA) Mohd Khairi Mat Hussin berkata,
JPAM tidak menggalakkan sebarang aktiviti air kerana keadaan ombak tinggi dan air pasang.
"Setakat ini atas faktor cuaca dan ombak, pengunjung patuh dan tidak bermain berdekatan pantai
"Orang ramai dilihat patuh dan tidak melakukan sebarang aktiviti berkaitan," katanya.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melalui portal meramalkan kelajuan angin antara 30 hingga 40 kilometer per jam dengan ketinggian ombak antara 1.5 hingga 2.5 meter bermula Rabu hingga Khamis.
MetMalaysia turut meramalkan hujan lebat berterusan di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh pada Khamis.
Sementara itu, sehingga jam 6 petang Khamis, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencatatkan seramai 370 membabitkan 95 ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS).
PPS yang masih beroperasi ialah di Pasir Puteh dan Bachok.
Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Rhu, Pasir Puteh menempatkan 189 mangsa daripada 50 keluarga manakala 64 mangsa membabitkan 14 keluarga masih berlindung di SK Sungai Petai.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor pula menempatkan 43 mangsa daripada 11 keluarga dan SK Wakaf Raja pula menempatkan 30 mangsa membabitkan tujuh keluarga.
Selain itu di SK Jelawat masih dibuka untuk 15 mangsa membabitkan tiga keluarga dan Dewan Kompleks Kamil pula menempatkan 29 mangsa membabitkan 10 keluarga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!