RM17 juta duti hiburan tidak dikutip di Selangor - Audit
SHAH ALAM - Sebanyak RM17 juta duti hiburan tidak dikutip di Selangor yang boleh menyebabkan potensi kehilangan hasil kepada Perbendaharaan Negeri Selangor (PNS), menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).
Menurut laporan itu, potensi kehilangan hasil kepada PNS meliputi taman tema berjumlah RM11.41 juta, pertandingan sukan berjumlah RM4.09 juta, panggung wayang berjumlah RM530,000 dan premis hiburan tidak bertiket berjumlah RM176,760.
"Kutipan duti hiburan tidak mengikut kadar meliputi aktiviti pusat karaoke dan mesin hiburan berjumlah RM640,000 manakala kesalahan pelarasan bagi pengecualian duti hiburan tahun 2021 menyebabkan potensi kehilangan hasil sebanyak RM59,309.
"Kompaun yang tidak dikenakan menyebabkan potensi kehilangan terimaan berjumlah RM87,000 dengan jumlah keseluruhan potensi kehilangan kutipan duit hiburan ialah berjumlah RM17 juta,” menurut LKAN mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri serta Pengauditan Pematuhan Negeri Selangor Tahun 2022.
Laporan itu memaklumkan kutipan duti hiburan oleh PNS tidak dibuat mengikut peraturan dan akta yang ditetapkan susulan wujudnya kelemahan dalam kutipan dan pemantauan.
"Sebahagian kutipan duti hiburan masih belum dibuat dan terdapat tunggakan oleh premis hiburan menyebabkan potensi kerugian hasil kepada PNS. Selain itu, kutipan tidak mengikut kadar dan perbezaan pengiraan pelarasan tahun 2021 mengakibatkan duti hiburan terkurang kutip.
"Susulan itu, bagi memastikan kutipan duti hiburan ditambah baik selaras dengan undang-undang dan peraturan, PNS perlu mengambil tindakan antaranya mengambil tindakan untuk mendapatkan hasil duti hiburan yang tidak dikutip dan terkurang kutip,” menurut laporan itu.
Laporan itu memaklumkan bahawa pemantauan dan penguatkuasaan terhadap premis hiburan perlu ditingkatkan bagi memastikan bayaran dibuat bertepatan dengan aktiviti sebenar jenis hiburan dijalankan.
"PNS juga perlu mengambil tindakan sewajarnya ke atas mana-mana pengusaha hiburan yang beroperasi tanpa lesen dan membantu mereka untuk membuat permohonan lesen yang sah,” menurut laporan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!