'Adakala muntah di gelanggang, otot kejang ketika balik ke rumah'

Chong Wei berterima kasih kepada semua jurulatih bantu kerjayanya. - Foto 123RF
Chong Wei berterima kasih kepada semua jurulatih bantu kerjayanya. - Foto 123RF
A
A
A

LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei hari ini mengucapkan terima kasih kepada semua jurulatih yang membantu beliau sehingga terkenal di peringkat antarabangsa dan menjadikannya insan yang lebih baik.

Chong Wei, 37, yang mengambil keputusan untuk menggantung raketnya Jun lepas berkata, beliau tidak akan berpeluang menjadi seperti apa yang dicapainya sekarang tanpa bimbingan jurulatih berkenaan.

Menurutnya, jurulatih seperti Datuk Misbun Sidek, Teh Peng Huat, mendiang Indra Gunawan, Li Mao, Rashid Sidek, Morten Frost, Datuk Tey Seu Bock, Hendrawan dan banyak lagi yang bukan hanya menggilap kemahiran badminton, bahkan membina keperibadiannya sehingga berjaya ke hari ini.

“Beberapa hari sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada 2019. 2019 adalah tahun yang penuh suka duka buat saya, secara fizikal dan emosi. Saya mahu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua jurulatih saya.

"Tanpa mereka, saya tidak akan berpeluang mewakili negara. Mereka berkeras dalam latihan, sangat keras sehingga ada beberapa hari minda saya terasa kosong kerana terlalu menekan diri sendiri,” katanya.

Gambar dan kepsyen yang dimuat naik Chong Wei di Instagramnya hari ini.
Gambar dan kepsyen yang dimuat naik Chong Wei di Instagramnya hari ini.

Chong Wei berkata, ada ketikanya beliau muntah di gelanggang dan beberapa ratus kali pulang ke rumah dalam keadaan kekejangan otot.

“Tidak pernah saya merungut kerana saya tahu mereka boleh berlembut dengan saya, ambil gaji mereka dan meneruskan kehidupan. Mereka keras dan tegas, kerana mahu saya memberikan yang terbaik,” kata Chong Wei dalam akaun Instagram @leechongweiofficial hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berkata, ”Sentiasa bersyukur dengan apa yang mereka lakukan untuk saya. Sebagaimana pepatah Cina berkata - Sehari sebagai guru anda, sepanjang hayat selaku bapa anda. Terima kasih jurulatih!”

Bekas pemain ranking nombor satu dunia itu mengumumkan persaraannya daripada dunia badminton profesional selepas kerjaya 19 tahun yang gemilang.

Pemenang pingat perak Olimpik sebanyak tiga kali itu yang didiiagnos menghidap kanser hidung peringkat awal tahun lalu berkata, beliau memilih untuk bersara selepas diberitahu doktor bahawa tubuhnya tidak lagi mampu melakukan latihan intensif diperlukan untuk pertandingan peringkat tinggi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!