Taasub ranking tak baik untuk universiti?
MENTERI Pendidikan Tinggi baru-baru ini cadangkan semua IPT jangan terlalu taasub kejar ranking universiti.
UNESCO juga ada ingatkan supaya sistem itu tidak dipakai bulat-bulat. Ini kerana kriteria yang digunakan tak boleh dipukul sama rata untuk semua negara.
Ada juga yang kata apa guna ranking kalau graduan susah dapat kerja.
Merak Jalanan sedar ada banyak sistem penarafan di dunia - dari persepsi rasuah ke negara paling bahagia hinggalah kedudukan universiti.
Bagi universiti, yang sering menjadi rujukan ialah QS University Rangkings.
Ada lima kriteria diambil kira dalam penilaiannya iaitu reputasi akademik, yuran, persepsi majikan, nisbah pelajar bagi setiap fakulti dan jumlah pelajar antarabangsa.
Jika hendak dipersoal, maka banyaklah perkara yang boleh dipersoalkan. Tetapi jika tiada pihak lain yang mengeluarkan ranking selain daripada ranking ini, apa salahnya ia jadi penanda aras?
Merak Jalanan bukan taasub dan bukan pula antiranking universiti.
Asal usul universiti adalah tempat untuk memandaikan manusia, bukan menyiapkan pelajarnya untuk mendapatkan kerja atau berlumba-lumba siapa jadi No.1.
Lain pula halnya sekarang. Universiti perlu bersaing sesama sendiri dan harus menang, termasuk graduannya menang dalam persaingan meraih pekerjaan.
Faktor ranking juga diambil kira oleh pelajar apabila hendak masuk universiti.
Dengar-dengarnya majikan pun ada yang tengok reputasi universiti calon pekerja dulu sebelum panggil interviu.
Graduan universiti carta paling atas seperti Cambridge, Oxford, Yale dan Harvard pula bukan lagi bersaing untuk dapat kerja atau tidak tetapi bersembang tentang tawaran kerja dengan gaji paling tinggi yang mereka terima semasa tahun akhir universiti.
Jika itulah situasinya, biarkan dunia akademik berkembang mengikut peredaran masa termasuk sistem ranking dan pada masa sama kekal relevan dalam konteks keilmuan global.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!