Batu nisan, keranda nyaris ditenggelami banjir

Shahmil Hameed memindahkan alatan pengurusan jenazah ke tempat lebih selamat setelah stor simpanan barangan itu di Kampung Nibong Atas di Kuala Terengganu dinaiki air pada Isnin lalu.
Shahmil Hameed memindahkan alatan pengurusan jenazah ke tempat lebih selamat setelah stor simpanan barangan itu di Kampung Nibong Atas di Kuala Terengganu dinaiki air pada Isnin lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Cabaran buat seorang pengurus dan pembekal peralatan pengurusan jenazah apabila van, batu nisan dan keranda miliknya hampir ditenggelami air akibat bencana luar jangka yang berlaku di stor simpanan barangan itu di Kampung Nibong Atas, di sini.

Shahmil Hameed Syed Ahmed, 56, atau lebih dikenali dengan gelaran 'Pok Sheikh mandi mayat' berkata, dia tidak menyangka hujan lebat berlaku pada Ahad dan Isnin lalu menyebabkan air melimpah sehingga 1.1 meter di kawasan stor tersebut.

Bagaimanapun, katanya, dia berjaya menyelamatkan barangan itu daripada rosak dan dipindahkan ke kawasan lebih selamat.

"Saya ambil masa kira-kira satu jam untuk alihkan kesemua barangan itu melibatkan keranda, batu nisan, empat buah van jenazah dan empat bekas mandi jenazah atau juga digelar palong.

"Kebetulan juga hari yang sama saya perlu gunakan barangan itu untuk uruskan empat kematian. Waktu tu rasa susah hati sebab urusan jenazah belum selesai.

Shahmil Hameed membersihkan tempat mendi jenazah atau palong ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu.
Shahmil Hameed membersihkan tempat mendi jenazah atau palong ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

"Saya bersyukur sebab sempat alihkan semua barangan itu setelah menyedari stor simpanan barang dinaiki air selepas Subuh," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Pasir Panjang, di sini.

Menurut Shahmil Hameed, banjir kali ini berlaku di luar jangkaan kerana sebelum ini stor simpanan alatan urusan jenazah itu tidak dinaiki air sehingga mencecah paras satu meter.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang urus jenazah, banjir kali ni agak besar sikit sebab biasanya dalam kampung tak naik air.

"Saya bersyukur sebab dapat selesaikan pengurusan jenazah bermula pagi sehingga Zohor walaupun air bertahan dan menunjukkan tanda-tanda surut pada sebelah petang," ujarnya.

Bercerita pengalaman menguruskan jenazah sejak 35 tahun lalu, beliau berkata, banyak pengalaman telah ditempuh terutama melibatkan pengurusan jenazah ketika musim banjir.

"Pernah berlaku keadaan di mana lubang kubur telah digali namun dinaiki air kerana hujan lebat dan limpahan air dari sungai terdekat.

"Jadi, kami terpaksa alih jenazah untuk dikebumikan di tanah perkuburan lain. Syukurlah ketika itu semua urusan pengebumian berjalan lancar dan waris jenazah juga memberikan kerjasama yang begitu baik dalam keadaan yang berlaku di luar jangkaan seperti itu," katanya.

Antara alatan pengurusan jenazah seperti batu nisan dan keranda yang perlu dipindahkan ketika stor barangan itu dinaiki air Isnin lalu.
Antara alatan pengurusan jenazah seperti batu nisan dan keranda yang perlu dipindahkan ketika stor barangan itu dinaiki air Isnin lalu.

Shahmil Hameed yang menjalankan perkhidmatan pengurusan jenazah di daerah Kuala Terengganu dibantu seramai enam lagi anggota keluarganya.

Beliau mempelajari secara mendalam kaedah pengurusan jenazah pada 1988 ketika berusia 21 tahun.

Bapa kepada empat anak itu kemudiannya menjalankan perkhidmatan tersebut sepenuh masa bermula 1997 selepas menyedari perkhidmatan pengurusan jenazah di Terengganu berkurangan ketika itu.