Isu sekolah vernakular: Suasana lengang sekitar Istana Kehakiman
PUTRAJAYA - Suasana lengang sekitar Istana Kehakiman, Putrajaya di sini dan tidak kelihatan mana-mana individu berkumpul di sekitar pekarangan kawasan tersebut bagi menyatakan sokongan berhubung keputusan rayuan mengenai isu sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah berkenaan.
Tinjauan Sinar Harian kira-kira jam 9 pagi mendapati beberapa anggota polis yang bertugas menjalankan kawalan keselamatan di sekitar pekarangan mahkamah.
Kira-kira jam 9 pagi, Presiden Dong Jia Zong, Tan Tai Kim hadir di pekarangan mahkamah ditemani beberapa individu dipercayai peguam.
Mahkamah Rayuan pada 10 Oktober lalu menetapkan hari ini untuk keputusan rayuan oleh empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) berhubung isu tersebut.
Hakim Datuk Supang Lian menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena).
Dalam prosiding sebelum ini, Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin, mewakili Menteri Pendidikan dan kerajaan berhujah bahawa penggunaan bahasa lain sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah vernakular tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana bahasa kebangsaan diajar sebagai mata pelajaran wajib di sekolah terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!