FIFA kecewa insiden pergaduhan di Maracana

Penyokong Argentina dan Brazil bergaduh sebelum perlawanan bermula di Stadium Maracana. - Foto AFP
Penyokong Argentina dan Brazil bergaduh sebelum perlawanan bermula di Stadium Maracana. - Foto AFP
A
A
A

PRESIDEN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino menegaskan tiada tempat untuk keganasan dalam bola sepak selepas insiden pergaduhan yang berlaku ketika perlawanan membabitkan Brazil dan Argentina dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Maracana, Rio de Janeiro pada Rabu.

Kejadian berlaku beberapa minit sebelum perlawanan bermula apabila polis terpaksa menggunakan baton untuk memukul penyokong pelawat yang didakwa merusuh dan melakukan provokasi.

“Tiada tempat dalam bola sepak untuk keganasan seperti ini di dalam atau di luar padang.

"Pemain, peminat, pasukan dan pegawai berhak mendapat persekitaran yang selamat," kata Infantino.

Beberapa penyokong dilaporkan cedera dan turut mendapat perhatian pemain Argentina termasuk Lionel Messi yang terus bergegas ke tempat pergaduhan tersebut.

Penjaga gol Argentina, Emi Martinez cuba melompat ke kawasan tempat duduk penonton untuk menghalang seorang pegawai polis Brazil yang memukul penyokong dengan baton.

Messi dan pemain Argentina yang lain kemudian kembali ke bilik persalinan mereka ketika pergaduhan itu berlaku, dengan Messi berkata:

"Kami tidak akan bermain.

Artikel Berkaitan:

“Kami bergerak ke bilik persalinan kerana ia adalah satu cara untuk membuatkan keadaan kembali tenang.

“Kami pergi untuk melihat keadaan keluarga dan orang yang rapat dengan kami, kemudian kami kembali untuk beraksi," katanya.

Argentina menewaskan Brazil 1-0 hasil jaringan Nicolas Otamendi dan menduduki tangga teratas kelayakan Amerika Selatan dengan 15 mata daripada enam perlawanan.

Kekalahan ketiga Brazil dalam kelayakan pula meletakkan juara dunia lima kali itu di tempat keenam dengan tujuh mata daripada enam perlawanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!