DUN Johor ucap tahniah pemilihan Sultan Johor Agong ke-17
ISKANDAR PUTERI - Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Khamis, merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Ucapan itu dizahirkan Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sebelum pembentangan Belanjawan Johor 2024 oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
"DUN Johor ingin merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Januari depan.
"Sebagai tunjang dan payung negeri ini, kami amat yakin dengan pengalaman dan pemerintahan Sultan Ibrahim nanti akan membawa Malaysia menjadi sebuah negara lebih maju dengan rakyat bersatu padu.
"DUN Johor juga ingin merafak sembah ucapan Selamat Hari Keputeraan baginda Sultan Ibrahim pada 22 November. Semoga baginda Tuanku terpelihara kesihatan dan ALLAH lanjutkan usia Tuanku," katanya.
Pada 27 Oktober lalu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataan berkata, pelantikan selama lima tahun itu berkuat kuasa 31 Januari 2024.
Pelantikan baharu itu menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan pemerintahannya berkuat kuasa 30 Januari 2024.
Sementara itu, Mohd Puad juga mengucapkan tahniah kepada Onn Hafiz yang dikurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (S.M.I.J) oleh Sultan Ibrahim, pada Rabu.
Gelaran SMIJ itu membawa gelaran Datuk.
"Tahniah kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dikurniakan Darjah SMIJ. Ia adalah pengiktirafan kepada usaha yang dilakukan beliau menjadikan Johor terus maju dan stabil," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!