Kelantan naik taraf 2,800 hektar tanah tingkat pengeluaran padi

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan menaik taraf 2,800 hektar tanah di kawasan Machang bagi membolehkan tanaman padi dua kali setahun dapat diusahakan.

Exco Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, kerja-kerja permodenan skim pertanian dan menaik taraf sistem pengairan serta saliran pertanian di kawasan itu telah dipohon.

"Permohonan itu dibuat melalui Rolling Plan 4 Rancangan Malaysia Ke-12 dengan kos sebanyak RM12 juta.

"Alhamdulillah, sekitar September lalu kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah siap melaksanakan tiga projek berkaitan pembangunan saliran padi dengan anggaran perbelanjaan berjumlah RM450,000," katanya semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran-Pas, Mohd Adanan Hassan pada Persidangan Kali Kedua (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini pada Khamis.

Menurut beliau, perbelanjaan itu melibatkan kawasan Bendang Tar dan Bagan 3 (Pulai Chondong) serta Gaung.

Ujarnya, faktor-faktor yang menyumbang kepada pengeluaran hasil padi di negeri ini melibatkan pengurusan baja iaitu sebanyak 40 peratus dan 60 peratus melibatkan pengurusan tanaman, infrastruktur dan cuaca.

Tuan Mohd Saripudin memberitahu, bagi menguruskan perkara itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian telah melaksanakan projek pengurusan nutrient lokasi spesifik (Soil Profiling) dengan objektif program adalah untuk menyediakan pengesyoran pengurusan tanah, tanaman dan pembajaan mengikut status kesuburan tanah sesuatu lokasi.

"Program ini melibatkan 8,400 hektar keluasan siasatan dengan 22,270 titik siasatan melibatkan keluasan padi luar jelapang bagi jajahan Tumpat, Jeli, Kuala Krai, Machang, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas dan Tanah Merah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!